DATUK Hamidin Mohd Amin sedia dicabar jika ada individu yang mampu mengambil alih tampuk kepimpinannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Hamidin yang meneraju FAM selama lebih enam tahun itu mengakui terbuka dengan pelbagai kritikan dan tohmahan telah dilontarkan kepada beliau, walaupun dirinya telah memberi sepenuh jiwa raga dalam bola sepak.
Malah beliau tidak berkecil hati terhadap pandangan bekas Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin yang mahu satu peralihan dilakukan dalam FAM.
Menurut Hamidin, FAM tidak boleh lari daripada perlembagaan atau statut dan dirinya sendiri mengalu-alukan individu yang mahu bertanding untuk mengemudi badan induk bola sepak negara.
“Saya rasa, itu pandangan beliau. Apa sahaja yang kita buat, kita tidak boleh lari daripada perlembagaan. Jadi sesiapa sahaja boleh bertanding, tak ada masalah, dan saya tidak kisah. Mana yang saya terbuka, dan saya rasa pihak FAM juga terbuka.
“Siapa pun nak bertanding, apa jua keputusan, pasti mengikut peraturan. Saya tidak berkecil hati kerana saya seorang yang sangat berfikiran terbuka.
“Saya terima kritikan daripada netizen, mana yang baik itu saya ambil dan lepas itu rasanya banyak lagi blogger-blogger ataupun pengkritik yang kritik saya tentang hal ini, tentang prestasi skuad Bawah 23 (B-23) dan juga mengenai surat layang. Jadi kita kena terima, sebab kita memegang jawatan ini.
“Yang penting kita tidak buat salah, yang penting kita buat semuanya demi bola sepak negara. Jadi sampai masanya, kalau ada pemilihan, kita akan sama-sama berada dalam pemilihan mengikut peraturan FAM,” kata Hamidin ketika ditemui di Shangri-La Kuala Lumpur pada Isnin.
Terdahulu, FLASH SUKAN melaporkan bahawa Khairy Jamaluddin yang dikenali sebagai KJ mahu satu perubahan dilakukan kepada pucuk kepimpinan FAM, demi masa depan arena bola sepak negara.
Dengan itu, Hamidin telah tampil memberi kenyataan untuk menjawab semula persoalan daripada pihak pengamal media mengenai lontaran suara yang dibuat oleh KJ pada 26 April lalu.