MUHAMMAD Shah Firdaus Sahrom mungkin pelumba berbasikal ttrk terbaik negara ketika ini, namun reputasinya masih jauh ke belakang berbanding Datuk Azizulhasni Awang.

Legenda berbasikal negara, Datuk Ng Joo Ngan berkata, sememangnya Shah mempamerkan peningkatan prestasi, namun atlet kelahiran Johor itu mempunyai gaya tunggangan serta strategi yang agak berbeza, berbanding The Pocket Rocketman.

Datuk Ng Joo Ngan mahu Shah lebih kritikal dalam strategi dalam perlumbaan.

Menurut beliau, Shah perlu lebih berani dan merencana strategi yang lebih bijak ketika berlumba sekiranya mahu setanding seperti Azizulhasni.

“Saya lihat dia tidak mempunyai kesabaran yang mencukupi dan gaya tunggangannya juga tak sama seperti Azizul yang pandai masuk (mencari ruang ketika berlumba). Tetapi dia (Shah) menunjukkan peningkatan ketara.

“Catatan masa mereka berdua hampir sama tetapi dalam konteks pergerakan, kadar responsif Azizul lebih pantas. Dia (Shah) agak perlahan ketika mahu keluar. Kadangkala dia keluar awal, kadangkala lambat.

“Apa yang penting adalah strategi ketika berlumba. Jika anda tidak kuat (fizikal dan mental), jangan bercakap mengenai strategi,” katanya.

Azizulhasni sebelum ini mengumumkan persaraan sebaik menamatkan tugas di Sukan Olimpik Paris, namun kebimbangan pastinya terarah kepada siapakah pelumba negara yang mampu mencapai prestasi setara Pocket Rocketman itu.

Shah Firdaus menjadi sandaran utama negara selepas ketiadaan Datuk Azizulhasni Awang.

Malah ketika ditanya adakah Malaysia mempunyai barisan pelumba pelapis yang cukup dalam usaha menjejak langkah seperti Azizulhasni, Joo Ngan meletakkan tanggungjawab itu kepada pihak bertanggungjawab seperti Majlis Sukan Negara (MSN).

“Mereka perlu melakukan banyak kerja kerana aspek pembangunan bukan sesuatu yang mudah. Sangat sukar untuk mencari pengganti seperti Azizul,” katanya.

Pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Denmark baru-baru ini, Shah bersama adiknya, Ridwan tersingkir di pusingan pertama acara pecut individu manakala dalam aksi keirin, Shah berada di kedudukan kesembilan manakala Ridwan terkandas di pusingan repechage.

Azizulhasni tidak menyertai edisi kali ini kerana dilaporkan mahu memberi tumpuan untuk menamatkan pengajiannya di universiti.