TIMBALAN Presiden 1 Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk V.Subramiam, secara sebulat suara dipilih ahli majlis untuk memangku jawatan presiden, sebaik penyandangnya Tan Sri Mohamad Norza Zakaria melepaskan jawatan secara rasmi sejurus tamat Sukan Olimpik Paris 2024, Ogos depan.
Menurut Norza, majlis serah tugas akan diadakan pada Mesyuarat Ahli Majlis BAM yang dijangka diadakan pada 24 Ogos depan.
Katanya, Subramiam yang juga Presiden Persatuan Badminton Selangor (SBA) akan memikul tugas selaku pemangku presiden sehingga pemilihan kepimpinan baharu BAM pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang dijangka diadakan pada April atau Mei tahun depan.
“Bagi memastikan kestabilan dan memperkasa apa yang kami sudah ada ketika ini, semua ahli majlis bersetuju yang dari sekarang sehingga AGM tahun depan, perlu ada calon dalaman untuk menerajui BAM.
“Perkara ini juga selari dengan perlembagaan BAM artiket 9.2E berhubung kedudukan pemangku presiden sehingga AGM tahun depan,” kata Norza, dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis BAM di Axiata Arena Bukit Jalil.
Norza mula memegang tampuk kepimpinan BAM pada 2017, menggantikan tempat Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff.
Sepanjang tujuh tahun menerajui badan induk itu, Norza berjaya meletakkan BAM sebagai antara persatuan sukan kebangsaan yang berpengaruh selain mempunyai tahap kewangan yang kukuh dan boleh dilabel sebagai persatuan sukan paling berdikari.
Di bawah kepimpinannya juga, BAM beberapa kali diberi penarafan lima bintang oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan yang mengiktiraf pendekatan persatuan itu dalam isu urus tadbir serta pembangunan sukan daripada peringkat remaja hingga ke peringkat tertinggi.
Malah, Malaysia juga berjaya meraih gelaran juara dunia buat kali pertama menerusi beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada 2022.
Norza sebelum ini mengumumkan akan melepaskan jawatannya pada hujung tahun lalu tetapi ‘dipujuk’ oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang meminta beliau meneruskan tugasnnya sehingga tamat Sukan Olimpik Paris 2024.
Sementara itu, Subramaniam mengakui menggalas tanggungjawab besar selaku pemangku presiden dalam meneruskan legasi yang ditinggalkan Norza termasuk mengekalkan hubungan baik dengan penaja utama badan induk berkenaan.
“Saya cuma mahukan teruskan semua perancangan yang sudah diusahakan Tan Sri Norza sebelum ini, khususnya program pembangunan.
“Berkaitan dengan penajaan, saya sering terlibat dengan perbincangan bersama Tan Sri Norza dan juga pihak pengurusan yang lain, jadi kami semua sudah bekerjasama untuk sekian lama bersama penaja kami Petronas dan Yonex.
“Saya percaya mereka (Petronas) akan kekal bersama kami, kerana sepanjang tempoh ini, mereka amat baik kepada kami, mereka melihat kami bekerja dan bersama-sama mahu membangunkan badminton Malaysia,” katanya yang mula bersama BAM pada 2007 selaku naib presiden.
Beliau juga pernah memikul tanggungjawab selaku bendahari dari 2017 hingga 2021 sebelum dipilih sebagai Timbalan Presiden 1 sehingga sekarang.