PEMILIK majoriti Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengakui pasukannya memang mengalami masalah tunggakan gaji membabitkan skuad utama KDA FC yang beraksi dalam Liga Super.

“Saya memohon maaf kepada Ketua Jurulatih Pasukan Liga Super, Nafuzi Zain, barisan kejurulatihan, semua pegawai dan pemain serta ahli keluarga mereka atas masalah kewangan atau lebih tepat masalah aliran tunai (cash flow) sedang dihadapi KDA FC yang telah menyebabkan masalah tunggakan gaji dan mengakibatkan persembahan pasukan yang kurang memberangsangkan kebelakangan ini.

“Dalam konteks ini, saya juga turut memohon maaf kepada semua penyokong dan peminat KDA FC atas segala kelemahan saya yang mengakibatkan persembahan yang kurang mengujakan.

“Sebagai pemilik, saya mengambil sepenuhnya tanggungjawab di atas semua masalah kewangan yang dihadapi Kedah Darul Aman FC, ” katanya dalam sidang media menerusi Facebook KDA FC di Alor Setar pada Sabtu.

No photo description available.

Skuad KDA FC 

Dalam pada itu, Mohd Daud yang juga Tokoh Kewangan Islam, menjelaskan semua pegawai dan pemain KDA FC telah dibayar gaji mereka sehingga bulan Julai 2023 dan perancangan sedang dibuat bagi melunaskan gaji bulan Ogos sebelum berakhir pada minggu hadapan iaitu sebelum 7 November 2023.

“Insya Allah gaji bulan September 2023 akan cuba dijelaskan pada bulan November 2023. Ini adalah perancangan yang sedang dibuat dengan mengambil kira pelbagai pendekatan untuk mendapat pendanaan baharu sama ada melalui penajaan atau keberhutangan atau penjualan saham KDA FC,” katanya enggan mendedahkan jumlah hutang ditanggung KDA FC.

Beliau juga kekal optimis anak buah Nafuzi masih memiliki harapan layak ke pentas Asia pada musim hadapan dengan saingan Liga Super berbaki dua perlawanan.

Sementara itu, sidang akhbar turut mendedahkan Rodney Calvin, pemain bek tengah kelab itu, telah memutuskan untuk menamatkan kontrak dengan persetujuan bersama.

Tegas Mohd Daud, beliau amat menyayangi KDA FC dan terus memberi komitmen yang tinggi untuk menyelamatkan kapal kelab berkenaan.

“Saya telah bekerja keras dan akan terus bekerja keras untuk memastikan saluran oksigen kepada KDA FC dapat dipulihkan.

“Saya ingin sebut di sini bahawa saluran oksigen yang diperlukan di saat ini adalah bekalan dana kewangan yang mencukupi.

“Perkara-perkara lain walaupun penting adalah perkara kedua atau ketiga dalam hirarki keperluan mendesak,” ujarnya.