KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) mahu aksi pertama menentang PDRM FC di halaman lawan menjadi penyuntik semangat untuk satu perjalanan yang cemerlang pada musim ini.
Pemilik majoritinya, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar turut melabel penyokong Sang Kenari adalah hero pasukan KDA FC dalam mengharungi kempen Liga Super yang bermula hari ini.
Menurutnya lagi, jumlah besar penyokong Kedah boleh membantu skim ekonomian dan penajaaan dana dari masa ke semasa.
“Jom kita jumpa di Stadium Selayang semua peminat dan penyokong Kedah FC. Jangan lupa sokong semua skim perekonomian dan penajaaan dana yang akan dilancarkan Kedah FC dari masa ke semasa.
“Kekuatan kewangan Sang Kenari bermula dari saku semua peminat dan penyokong.
“Anda adalah hero Sang Kenari,” katanya.
Terdahulu, Daud Bakar hadir berjumpa dengan barisan pemain Sang Kenari bersama barisan kejurulatihan di padang latihan di Mindef, Kuala Lumpur.
Kehadirannya mungkin dilihat memberi motivasi tambahan kepada pasukan menjelang perlawanan yang akan datang.
Pada majlis ringkas itu, KDA FC menerima penajaan air minuman kesihatan dari pihak OPI.
“Kedah FC berterima kasih atas penerusan penajaan di musim baharu ini. Air minuman kesihatan sudah ada dalam pasaran di Malaysia dan dikhabarkan sudah berjaya menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.