PENYERANG baharu Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ifedayo Olusegun dilabel bakal menjadi ancaman dan igauan pihak benteng pertahanan lawan pada baki pusingan kedua Liga Super.
Walaupun kelibatnya langsung tidak beraksi secara kompetitif musim ini, keupayaan rekod penyudah berbisa pemain kelahiran Nigeria tetap diakui pemilik kelab Tan Sri Dr Daud Bakar.
“Beliau (Ifedayo) banyak berjasa kepada lanskap bola sepak Malaysia. KDA FC amat teruja kerana berjaya mendapat khidmat beliau.
“Terima kasih kepada semua yang telah berjasa di masa lepas membina seorang pemain yang hebat di bawah langit Malayia. Semoga beliau menjadi ultimate finisher kepada KDA FC dalam baki saingan,” katanya.
Tambah Daud Bakar, berdasarkan bajet KDA FC yang sederhana, kelab berjaya dapat membawa masuk dua pemain yang ada track record yang harum dalam dimensi masing-masing.
“KDA FC juga berjaya mendapat kontrak Moses Atade juga berasal dari Nigeria, kerakyatan Bahrain. Beliau antara pemain yang menonjol dalam liga Bahrain. Beliau bermain sebagai defensive midfield.
“Kedua-dua mereka akan datang di bawah kuota Asia. Semoga ini memberi advantage kepada KDA FC.
“Kalau ada rezeki, KDA FC akan juga mendapat lagi satu atau dua pemain baru di jendela perpindahan. Kita doakan yang terbaik. Insya Allah Kedah FC akan membuat apa yang terbaik dalam cakupan kemampuan yang ada untuk menjadikan Sang Kenari antara yang terunggul di Malaysia,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, beliau juga menggesa peminat memenuhi Stadium Darul Aman sepanjang masa dan bukannya sekadar bermusim.
Kedah selepas ini akan menghadapi Terengganu aksi Liga Super di tempat lawan pada 3 Julai 2023.