TIMBALAN Chef De Mission ( DCDM), Monteiro Gerard Clair mengakui kecewa dengan penarikan diri pemain profesional perseorangan negara, Lee Zii Jia ke Sukan Komanwel hujung Julai ini.

Menurut Clair, susulan daripada penarikan diri Zii Jia yang diumum secara terbuka semalam (Rabu), pihak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan sekretariat terpaksa menyemak semula sasaran yang ditetapkan oleh pasukan kebangsaan.

“Saya tidak berhak bercakap atas nama MOM (Majlis Olimpik Malaysia) dan BAM, namun apa yang saya boleh jelaskan saya sangat kecewa kerana Sukan Komanwel sukan untuk seluruh rakyat Malaysia dan sudah pasti kita mengharapkan Zii Jia akan membawa pulang satu pingat.

Zii Jia mengumumkan penarikan diri daripada Sukan Komanwel di media sosial pada Rabu malam.

“Kita akui Kejohanan Dunia tempohnya hampir dengan Sukan Komanwel dengan hanya perbezaan dua minggu, jadi kami sangat kecewa kerana dia memilih jalan ini,” jelasnya kepada media pada Sesi Lawatan CDM dan DCDM Ke Venue Latihan Bagi Persiapan Ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Khamis.

Jelasnya, badminton telah meyumbang pingat dalam setiap edisi dan dia yakin pasukan kebangsaan akan meneruskan legasi kecemerlangan tersebut.

Dalam pada itu, Clair turut menggambarkan persiapan para pemain berada pada tahap terbaik menjelang dua edisi penting kejohanan elit Terbuka Malaysia dan Masters Malaysia dua minggu berturut-turut bermula 28 Jun ini.

Pemain-pemain negara menjalani latihan menjelang aksi Terbuka Malaysia dan Sukan Komanwel.

“Kita perlu menyemak semula sasaran pingat emas dan saya telah merujuk sekretariat untuk berbincang dan menyemak semula sasaran.

“Bagi saya, Rexy dan  Choong Hann yakin akan ada pemain lain yang akan menyinar dan menjadi hero, jadi kita akan melihat ke hadapan,” katanya.

 

Video penarikan diri bintang perseorangan negara itu dimuatnaik menerusi Twitter Astro Arena  sekaligus mengejutkan ramai pihak namun sehingga kini tiada kenyataan rasmi dibuat Zii Jia bagi menjelaskan situasi sebenar selain faktor kepenatan yang dinyatakan antara punca penarikan dirinya secara tiba-tiba.