PEMAIN bola sepak wanita kebangsaan, Intan Sarah Anisah Zulgafli melakukan debutnya bersama pasukan New York Dutch Lions FC (NYDLFC) apabila diturunkan selama 10 minit ketika menentang pasukan SUSA FC pada Khamis.
Intan yang baharu tiba dilihat sedikit terganggu dengan keadaan cuaca yang sejuk namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk beraksi bersama pasukan baharunya dan kelihatan serasi dengan rakan-rakan yang lain.
Menerusi hantaran di laman sosial peribadinya, Intan memuat naik gambarnya bersama jersi pasukan New York Dutch Lions serta beberapa video yang menyaksikan dia beraksi ketika dibawa masuk oleh ketua jurulatih.
Sosok tubuh yang tinggi memberikan kelebihan buatnya yang dilihat berjaya mencabar pemain antarabangsa dan pastinya dia akan menimba seberapa banyak pengalaman yang diperolehi menerusi penglibatannya dalam liga amatur wanita ini.
Dalam perlawanan itu, pasukan New York Dutch Lions FC berjaya mengikat SUSA FC 1-1 di laman lawan sekaligus menjadikan debut Intan lebih bermakna dengan membawa pulang satu mata.
Perlawanan seterusnya bakal menyaksikan NYDLFC bertemu Brooklyn City FC juga di laman lawan dan mungkin Intan akan diletakkan dalam kesebelasan utama sekiranya dapat menyesuaikan diri dengan cuaca dan corak latihan pasukan.
Penampilan Intan turut mendapat perhatian penyokong bola sepak tempatan apabila ramai yang meninggalkan ucapan tahniah di ruangan komen laman sosial rasmi kelab kepadanya.