KEHANGATAN saingan Piala Malaysia 2022 semakin terasa apabila lapan perlawanan timbal balik pusingan 16 terbaik berjaya meraih hampir lima juta tontonan di platform YouTube unifi.
Dengan purata 619,625 tontonan, ianya adalah antara angka tertinggi dicatatkan dan angka ini tidak termasuk jumlah tontonan siaran langsung di saluran unifi TV, Saluran Okey dan Sukan RTM.
Seperti kebiasaan, perlawanan melibatkan Johor Darul Ta’zim mencatat angka tertinggi dengan 1.3 juta tontonan manakala aksi Derbi Pantai Timur antara Terengganu FC dan Sri Pahang FC mencatatkan 1.1 juta tontonan.
Kehadiran pemain warisan Sepanyol-Indonesia, Jordi Amat yang melakukan debut di Malaysia mendapat perhatian bukan sahaja peminat bola sepak tempatan malah sehingga ke Indonesia.
Pertembungan Kelantan FC dan Sarawak United meraih hampir 800,000 tontonan manakala pertemuan Negeri Sembilan FC dan Kedah Darul Aman FC pula mendapat perhatian lebih 800,000 tontonan.
Aksi antara Sabah dan UiTM FC menerima hampir 700,000 tontonan dengan perlawanan yang berlanjutan hingga masa tambahan antara Kuching City FC dan Penang FC meraih lebih 400,000 tontonan.
Dua perlawanan di Lembah Klang antara Selangor FC dan Kelantan United FC serta Kuala Lumpur City FC dan PDRM FC masing-masing mendapat hampir 500,000 dan 200,000 tontonan.
Berbaki lapan pasukan, aksi suku akhir sudah pasti akan menerima lebih banyak tontonan di internet apabila empat perlawanan menarik bakal disajikan untuk para penyokong dan peminat bola sepak tempatan.