DECATHLON, pembekal peralatan sukan terbesar di Malaysia membuka cawangan kesembilan mereka di Lotus’s Puchong yang akan mula beroperasi Sabtu, 28 Mei 2022 ini.

Sejak memulakan operasi di Malaysia pada 2016, Decathlon yang berpangkalan di Lille, Perancis sejak 40 tahun lalu telah menjadi pilihan pengamal sukan dan keluarga untuk mendapatkan barangan sukan yang bermutu dengan harga yang berpatutan.

Decathlon Puchong ini juga muncul pusat sukan pertama yang mempunyai gelanggang badminton saiz dunia yang akan dibuka kepada orang awam untuk disewa menerusi aplikasi ‘play by decathlon’.

Menerusi kerjasama dengan Vortex Malaysia, ia turut dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk bilik mandi, bilik loker dan juga menyediakan pelatih yang terdiri dari jurulatih yang terkenal dari sukan badminton.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arnaud Sauret dalam ucaptama ketika pra pelancaran kepada media berkata Decathlon sentiasa mendengar keluhan pelanggan dan berazam untuk mengekalkan harga walaupun berhadapan pelbagai cabaran terutama kenaikan harga barangan global.

Sauret juga berbangga dengan jaminan 10 tahun ke atas kebanyakan barangan yang dijual dengan beberapa barangan yang dijual pula adalah buatan Malaysia dan kini cuba meningkat lagi produk buatan tempatan.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa sasaran utama pelanggan Decathlon adalah golongan menengah dan atas sebab itu Malaysia mempunyai potensi yang besar kerana mempunyai golongan menengah sebagai majoriti.

Decathlon membelanjakan lebih RM 4 juta dalam latihan bagi memastikan setiap kakitangan tahu berkenaan produk yang dijual dan mampu menjadi perunding sukan kepada pelanggan dan menjadi pemimpin dalam bidang sukan untuk masa akan datang.

Decathlon Malaysia juga merancang untuk membuka dua lagi cawangan selepas ini dengan kedua-dua lokasi masih di Lembah Klang kerana ianya adalah kawasan sasaran yang telah ditetapkan.