PERTAHANAN Kuala Lumpur City (KL City) FC, Declan Stephen Lambert Lee Kit Meng teruja kerana berjaya mendapatkan debutnya bersama skuad kebangsaan setelah mendapat panggilan dari Kim Pan-gon untuk menghadapi saingan King’s Cup di Chiang Mai, Thailand.
Jelasnya, dia lebih gemar jika diberi tanggungjawab mengemudi pertahanan kanan kerana dia lebih menggunakan kaki kanan sebagai kaki utama ketika diturunkan dalam setiap perlawanan.
Ditanya dengan ketiadaan Shahrol Saad di bahagian pertahanan, dia merasakan Harimau Malaya memiliki ramai pemain berkualiti yang mampu menjalankan tugas tersebut.
Tiada harapan besar bagi dirinya untuk penampilan kali pertama bersama skuad kebangsaan, sebaliknya dia menganggap ianya sebagai sebuah pelajaran terbaik bagi mengintai peluang memikat hati jurulatih Kim Pan-gon untuk terus berada dalam senarai pilihan jurulatih berasal dari Korea itu.
“Saya rasa sangat teruja dipanggil untuk negara saya Malaysia. Saya harap saya dapat banggakan penyokong dan rakyat Malaysia.
“Saya lebih gemar bermain di bahagian pertahanan kanan kerana saya bermain kaki kanan tetapi saya tidak kisah bermain di mana-mana bahagian pertahanan. Mana-mana posisi yang jurulatih arahkan saya akan terima.
“Dia (Shahrol Saad) adalah seorang pertahanan yang kebal tetapi saya rasa Malaysia banyak juga pemain berkualiti. Saya rasa sesiapa sahaja yang diberi peluang dapat menampilkan aksi terbaik.
“Secara peribadi, saya mahukan panggilan kebangsaan seterusnya. Buat masa ini, saya ingin belajar dan saya cuba menarik perhatian jurulatih Kim Pan-gon,” ujarnya ketika ditemui media sebelum sesi latihan bersama skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Sabtu.