PESERTA program ‘Dare to Dream’ yang melibatkan 12 pemain Liga MBSB Bank Championship meneruskan latihan kedua mereka di Compton Park sebagai sebahagian daripada program dan menerima kejutan daripada pasukan tuan rumah, Wolverhampton Wanderers.

Semua pemain dan pegawai dikejutkan dengan kehadiran pemain kebangsaan Republik Korea, Hwang Hee-chan yang meluangkan masa dan memberikan kata-kata semangat selain merakam kenangan bersama-sama.

Selain itu, mereka turut diberikan tunjuk ajar dari barisan kejurulatihan akademi Wolves dengan penekanan aspek hantaran pendek dan kebolehan mencari jalan penyelesaian ketika berdepan tekanan lawan selain kekuatan fizikal.

Mereka  kelihatan bersemangat untuk menimba ilmu baharu dalam bola sepak yang akan digunapakai apabila kembali beraksi bersama pasukan masing-masing pada musim 2024-25 nanti.

Tambah menarik dan mencabar, delegasi terpaksa berhadapan dengan cuaca sejuk yang mencecah 5 darjah celcius meskipun menjalani latihan di padang tertutup tetapi mereka menganggap ini sebahagian daripada pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Delegasi akan meneruskan latihan dan pelbagai program yang diatur termasuk lawatan ke Stadium Old Trafford dan akan menonton perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Wolverhampton Wanderers dan Sheffield United di Stadium Molineux pada Ahad.