HIJAU Kuning FC (HKFC) terus mengembangkan kepak perjalanan bola sepaknya dengan mengadakan lawatan ke LaLiga Sepanyol selama 10 hari yang lalu.

Kunjungan yang diadakan dari 22 hingga 31 Mei itu diketuai oleh Presiden HKFC, Muhammad Talhah Zainol dan pasukan pengurusan, Pengurus PDRM FC Inspektor Shamshul Hisham, Ketua Pegawai Kewangan PDRM FC, DSP Mohd Hasrulrizal Shah dan dua jurulatih dari struktur Akademi HKFC, Rafdi Abdul Rashid dan Mohd Firdaus Ahmad.

Lawatan tersebut telah memberikan dorongan yang signifikan kepada kedua-dua pihak yang saling komited kepada pembangunan bola sepak profesional di Malaysia melalui struktur bola sepak akar umbi yang kukuh, dan gigih merangka pelan pembelajaran berterusan kepada mereka.

Mengulas lanjut mengenai program ketika berada di Sepanyol, jurulatih HKFC telah menyertai bengkel latihan yang disediakan oleh LaLiga.

Selain itu, delegasi juga berpeluang mengadakan mesyuarat kerja dengan beberapa bahagian operasi LaLiga untuk mencari sinergi dalam pelbagai struktur industri sukan.

HKFC adakan lawatan ke LaLiga Sepanyol.

Mereka sempat melawat Atletico Madrid, Getafe CF, Real Valladolid, serta stadium Santiago Bernabeu, dan menghadiri perlawanan LaLiga EA Sports antara Getafe CF dan RCD Mallorca.

Selain itu, delegasi juga dapat melawat ESC LaLiga & NBA Centre, di mana LaLiga Academy mengembangkan sebahagian projek akar umbinya di ibu kota Sepanyol.

Difahamkan bahawa lawatan demikian mewakili komitmen bersama kedua-dua organisasi, dimana ketika menandatangani perjanjian di Madrid pada tahun 2022 untuk projek pembangunan bola sepak akar umbi.

Sejak itu, LaLiga dan HKFC telah mempromosikan kerjasama antarabangsa serta pertukaran budaya dan sukan, juga dengan sokongan beberapa kelab LaLiga EA Sports, seperti CD Leganes, yang melawat kelab di Malaysia dan menganjurkan kem untuk pemain mereka pada tahun 2023.