DELEGASI dari Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mengadakan lawatan ke Stadium Sultan Ibrahim milik Johor Darul Ta’zim untuk melihat sendiri keadaan rumput jenis Zeon Zoysia dan mempelajari cara menyelenggara rumput itu yang kini digunakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini telah mengurniakan tajaan rumput jenis Zeon Zoysia itu kepada Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai langkah untuk menyelesaikan masalah padang yang sering membelenggu stadium terbesar negara itu.

Usaha penukaran rumput itu berjalan lancar tetapi ianya masih belum dalam keadaan yang baik ketika kejohanan Pestabola Merdeka 2023 pada Oktober yang mendapat perhatian seluruh warga negara.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman sosial rasmi kelab, delegasi PSM yang diketuai Pengerusinya, Datuk Hans Isaac turut dibawa melawat semua fasiliti milik mereka termasuk Ibu Pejabat JDT yang terletak bersebelahan stadium itu.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menerima lawatan daripada delegasi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang diketuai oleh Pengerusinya, YBhg. Dato’ Hans Isaac pada 9 November 2023.

“Delegasi tersebut dibawa melawat fasiliti milik JDT, Stadium Sultan Ibrahim dan Ibu Pejabat JDT dalam lawatan itu,” tulis kenyataan itu.

Diharap banyak perkara positif dapat dipelajari PSM dalam memastikan fasiliti milik mereka di KL Sports City sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan bertaraf antarabangsa serta boleh digunakan pada bila-bila masa.