PASUKAN Terengganu FC kekal profesional dan komited untuk bersaing dalam perlawanan pertama Liga Super 2024/2025 bertemu Perak FC pada 11 Mei 2024 nanti, walaupun terpalit dengan kejadian buruk yang menimpa pemainnya, Akhyar Rashid.
Aksi yang akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu merupakan perlawanan terpenting buat skuad Sang Penyu untuk merebut kemenangan sulung musim ini, walaupun terdapat kemungkinan besar bahawa mereka akan beraksi tanpa pemain licik mereka itu.
Pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner turut berkongsi bahawa anak buahnya kini menunjukkan semangat yang tinggi meskipun mereka juga terkesan dan berasa sedih akan insiden samun yang menimpa Akhyar tempoh hari.
“Akhyar memang penting untuk kita dan kita tidak boleh patah balik ke masa lalu. Jadi apa pun saya sentiasa mempersiapkan pasukan walaupun tanpa Akhyar. Semangat yang ditunjukkan pasukan ketika ini bagus dan walaupun tidak sempurna tanpa Akhyar, tetapi kami tetap teruskan perjuangan.
“Kita nak memulakan musim baharu ini dengan tiga mata, jadi saya kata dekat pemain kita kena lakukan juga untuk Terengganu dan bermain demi Akhyar juga. Bukan Akhyar sahaja, tetapi Faisal Halim juga yang ditimpa insiden beberapa hari lepas.
“Apa pun, sudah tentu kami mahukan kemenangan menentang Perak FC dan kami perlu bersikap profesional. Sudah tentu kita risau atas apa yang berlaku kepada Akhyar dan juga Faisal, dan kita tidak tahu apa akan berlaku selepas ini.
“Tetapi kami sentiasa berhubung rapat dengan polis dan pihak keselamatan berkenaan apa yang perlu dilakukan dan saya rasa sekarang semangat pemain dalam keadaan baik,” ujar Tomislav ketika dihubungi.
Tomislav bagaimanapun meletakkan harapan agar Akhyar dapat pulih dan cergas sepenuhnya untuk kembali bersama pasukan dan menghangatkan perlawanan Liga Super akan datang.