PERLAWANAN bola sepak di antara Malaysia menentang Singapura dalam saingan terakhir temasya Sukan SEA 2023 di Stadium Prince, Phnom Penh pada Khamis juga menarik walaupun sekadar pelengkap jadual Kumpulan B.

Kedua-dua negara berjiran rapat itu tersingkir awal daripada kejohanan apabila gagal bersaing dengan pasukan gergasi, Thailand dan Vietnam.

Malaysia B-22, khususnya memang perlukan kemenangan maruah bagi mengelak dipintas Singapura untuk menamatkan kempen pada kedudukan ketiga terbaik.

Atas kertas, peluang seimbang namun anak buah E Elavarasan kena mencari resipi tiga mata sebagai modal di bawa pulang ke Kuala Lumpur.

Bagi Singapura, ia adalah medan untuk menebus maruah. Manakala bagi Harimau Malaya, ia ibarat gelanggang untuk membuktikan kehebatan pasukan negara.

Pertembungan maruah Malaysia dan Singapura di Stadium Prince esok dianggap penting.

Elavarasan dijangka melakukan sedikit rombakan terutama kehilangan dua pemain, Safwan Mazlan dan Najmudin Akmal  yang dibuang padang gara-gara mengutip kad merah semasa dijinakkan Vietnam tempoh hari.

“Kita tetap fokus pada aksi terakhir bertemu Singapura walaupun pasukan ini sudah tidak layak. Kehilangan pemain penting, tapi saya harap pasukan boleh mengakhiri cabaran dengan lebih baik,” katanya.

Dua pasukan teratas, Thailand dan Vietnam mara ke separuh akhir yang dijadualkan pada 13 Mei ini manakala perlawanan akhir berlangsung tiga hari kemudian di Stadium Olimpik, Phnom Penh.

Sepanjang 32 edisi sebelum ini, Malaysia hanya meraih enam pingat emas, kali terakhir muncul juara pada edisi 2011 di Jakarta.