“DEMI Lencana Di Dada” tema jersi baharu Harimau Malaya edisi 2022-2024 menyemarakkan semangat juang bermain untuk negara.

Jenama sukan terkenal dunia, Nike masih mengekalkan warna kuning sebagai jersi utama atau ‘home’ dengan kolar bulat berwarna hitam, jersi kedua atau ‘away’ turut dikekalkan warna hitam sebagai warna dominan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, rekaan jersi ‘home’ kali ini akan dinilai oleh peminat bola sepak negara sebagai terlalu ringkas, namun ia sebenarnya membawa maksudnya yang tersendiri.

“Kalau jersi home kita sebelum ini berkolar dan mempunyai sedikit warna hitam di lengan dan bahagian sisi, tapi ali ini tampil lebih unik sebenarnya apabila seluruh jersi berwarna kuning dan hanya di bahagian kolar bulatnya sahaja berwarna hitam.

“Inilah sebenarnya naratif yang cuba disampaikan iaitu segala fokus pada jersi home kali ini, bukan kepada corak atau reka bentuknya tetapi tertumpu kepada sifat eksklusif logo FAM itu sendiri untuk membawa mesej mereka (pemain) bermain ‘Demi Lencana Di Dada’,” kata Hamidin pada majlis pelancaran, Khamis.

Hamidin berkata, jersi away pula, sama seperti edisi 2020-2022 apabila warna hitam sebagai warna dominan mula diperkenalkan, ia dikekalkan sebagai warna jersi ‘away’ kali ini kerana kita mahu warna tradisi hitam dan kuning sentiasa ada biarpun pada jersi kedua.

“Semoga adanya jersi baharu ini, akan memberi semangat baharu kepada para pemain Harimau Malaya apabila mereka beraksi di pentas Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 pada Disember ini, seterusnya pada Piala Asia 2023 di Qatar.

“Begitu juga bagi perlawanan-perlawanan antarabangsa lain, termasuk juga pasukan-pasukan kebangsaan yang lain iaitu pasukan wanita, remaja, futsal dan juga bola sepak pantai.

“Terima kasih kepada Nike yang tetap setia bersama FAM dan Harimau Malaya sepanjang tempoh lebih 15 tahun ini (sejak 2007) yang mana sudah tentu jersi edisi 2022-2024 ini akan tinggi nilainya kerana ia bakal ‘beraksi’ di pentas Piala Asia 2023,” katanya.

Turut hadir Pengarah Pemasaran Nike Asia Tenggara dan India, Chris Madsen.