SEMANGAT hijau kuning memang tidak mengenal batasan, itulah yang dapat digambarkan mengenai empat sahabat ini penyokong tegar Kedah Darul Aman FC.

Salah seorang yang dikenali sebagai Puaka Jerai bersama tiga sahabatnya, Muhammad Hazriq Fahimy, Akmal Zaini, dan Mohd Norli Mat Yusoff, terbang jauh dari Kedah ke Sabah untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan kesayangan menjelang pertemuan menentang Sabah FC di Stadium Likas.

Menurut Puaka Jerai, kehadiran mereka bukan sekadar perjalanan biasa, tetapi sebahagian daripada perancangan awal untuk memberikan suntikan semangat kepada para pemain Kedah. 

“Sebenarnya kami memang daripada awal lagi ada perancangan untuk datang ke Sabah dan ini salah satu cara untuk memberi suntikan semangat kepada pemain-pemain Kedah untuk bawa pulang mata ke Darul Aman, Jadi saya dan tiga sahabat lagi datang untuk membakar semangat pada malam esok,” katanya kepada Flash Sukan.

Puaka Jerai berkongsi mengenai perjalanan pasukan Kedah yang menghadapi pelbagai cabaran pada musim ini, namun masih mampu memberikan persembahan terbaik, terutama dalam perlawananbaru-baru ini.

“Seperti yang kita tahu sebelum ini pasukan Kedah mengalami pelbagai rintangan dan masalah tetapi mereka masih lagi memberikan yang terbaik untuk pasukan ini.

“Terutama perlawanan sebelum ini menentang Terengganu kita menang, dengan PDRM kita seri, jadi ini antara salah satu pembakar semangat kami juga untuk datang ke Sabah,” tambahnya.

Menurutnya lagi, ini adalah kali pertama dia berpeluang memberikan sokongan kepada pasukan Kedah dari jarak yang begitu jauh ini.

“Untuk pergi ke tempat lawan untuk menyokong, ini adalah antara kali pertama saya sampai sejauh ini, saya rasa amat gembira dan seronok berpeluang memberi sokongan kepada pemain-pemain.

“Suara kita mungkin kecil, tetapi semangat kita besar, jadi saya menyeru anak-anak perantau disini untuk sama-sama memberikan sokong kepada pasukan kita nanti.”

Puaka Jerai bersama dua lagi kawannya hadir ke Stadium Likas untuk memberikan sokongan kepada pasukan Kedah Darul Aman FC

Mengenai harapan dalam perlawanan antara Kedah Darul Aman FC dan Sabah FC, mereka menyedari cabaran besar yang menanti pasukan kesayangannya itu.

“Kita tahu pasukan Sabah ini bukanlah pasukan yang mudah untuk ditewaskan, jadi harapan kami untuk perlawanan menentang Sabah ini, kita cuba sekurang-kurangnya bawa balik satu mata.

“Tetapi jika memperoleh tiga mata di tempat lawan ini, saya rasakan ia adalah satu bonus untuk kita,” ujarnya.

Perlawanan antara Kedah Darul Aman FC dan Sabah FC dijangka sengit, dengan kedua-dua pasukan berusaha meraih mata penting. Perlawanan ini dijadualkan berlangsung pada Selasa di Stadium Likas, Kota Kinabalu.