MESKIPUN tidak dapat berdiri dengan stabil atas gelanggang, Pearly Tan tetap menggagahkan dirinya hingga ke mata akhir, semata-mata tidak mahu mengecewakan semua pihak yang memberi sokongan padu di Axiata Arena.
Pearly mengakui, hanya mentalnya sahaja membuatkan dia bertahan ketika dia dan M.Thinaah memenangi perlawanan suku akhir ke atas pilihan keempat dari Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota, 13-21, 21-19, 21-16.
Selepas dipaksa bermain selama 1 jam 29 minit di pusingan kedua semalam (Khamis) satu lagi tempoh panjang terpaksa diharungi Pearly dan Thinaah, apabila terpaksa bertahan dalam kepenatan dan kesakitan selama 1 jam 51 minit.
“Saya belum fit lagi, sangat memberi kesan ketika dalam gelanggang hingga tak dapat berdiri dengan stabil.
“Tapi saya tidak mahu kecewakan pasangan saya dan semua orang, saya gunakan mental untuk bertahan hingga ke penghujung perlawanan, saya tak mahu berputus asa,” kata Pearly, menceritakan situasinya di atas gelanggang, yang kelihatan cukup penat.
Tambahnya, melihat kesungguhan Thinaah membantunya yang kepenatan mengawal ke segenap penjuru gelanggang, kesungguhan jurulatih (Rexy Mainaky dan Hoon Thien How) di belakang serta ibu bapanya dan penyokong yang memberi sokongan, menjadikan dia lebih kuat pada perlawanan itu.
Sementara Thinaah pula berkata: “Kami tidak mahu berputus asa hingga ke akhirnya kerana berazam mahu memberikan persembahan terbaik, itulah yang kami harungi sepanjang perlawanan.”
Sokongan padu penonton yang hadir ke stadium, jelas membantu pilihan keenam itu untuk menafikan kehebatan dan kekentalan Yuki-Sayaka.
Turut mencuri tumpuan aksi sebentar tadi, apabila Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky diberi amaran oleh pengadil, kerana didakwa mengganggu pemain lawan, ketika pasangan Jepun mendahului 12-11, sehingga perlawanan terpaksa dihentikan seketika.
Mara ke separuh akhir Masters Malaysia setidak-tidaknya mengubati kecewaan pilihan keenam itu selepas Januari lalu tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia.
Tahun lalu Pearly-Thinaah mara ke separuh akhir sebelum tumpas kepada wakil China, Chen Qingchen-Jia Yifan 10-21, 19-21.
Kemenangan Pearly-Thinaah menyaksikan rekod mereka dengan Yuki-Sayaka yang juara 2019 terikat 3-3 selepas enam pertemuan.
Kali terakhir pemain beregu wanita berjaya mara ke final Masters Malaysia dan muncul juara ialah pada 2012 menerusi gandingan Chin Eei Hui-Wong Pei Tty.
Kelmarin Pearly-Thinaah mencuri tumpuan apabila berjaya mencipta antara rekod rali terpanjang dunia dengan melakukan 211 pukulan dalam masa tiga minit 35 saat ketika menentang satu lagi beregu Jepun, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto.