SELANGOR FC melantik Dennis Bekking sebagai Pengarah Teknikal baharu dalam persiapan kelab menjelang musim hadapan.
Pelantikannya dianggap sebagai strategi utama dan selaras dengan aspirasi kelab dalam terus membina asas yang kukuh untuk masa hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, pengalaman luasnya di Belanda sebagai Pengarah Sukan dan Pengarah Teknikal serta pemahaman yang baik tentang bola sepak Malaysia dapat membantunya memperkenalkan dan mengintegrasikan kaedah bola sepak moden.
“Semangat, komitmen dan personalitinya pasti akan membawa perubahan positif dalam mewujudkan budaya dan persekitaran berprestasi tinggi di kalangan pasukan pembangunan Selangor FC,” kata Johan.
Selamat Datang Dennis Bekking! 🔴 🟡
Selangor FC hari ini mengumumkan pelantikan Dennis Bekking sebagai Pengarah Teknikal baharu dalam persiapan kelab menjelang musim hadapan.
Baca artikel penuh lantikan ini di pautan : https://t.co/8HgZbWkQAG
Selamat maju jaya Dennis!#MKLK pic.twitter.com/g2lydr3hju
— Selangor FC (@selangorfc) September 29, 2022
Bekas Pengarah Akademi FC Twente ini akan bertanggungjawab ke atas hal-hal teknikal yang melibatkan pasukan pembangunan termasuk Selangor B23, Selangor B20, Selangor B18, dan pasukan bola sepak Sekolah Sukan Negeri Selangor.
Sementara itu, Bekking teruja untuk memulakan peranan baharunya di Selangor FC.
“Selangor FC telah berjaya mengenal pasti dan merekrut ramai bakat muda sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan ianya tidak berhenti di sini. Dengan kemasukan prospek masa depan yang muda ini ianya telah menjadi satu keperluan untuk kita menyediakan laluan pembangunan belia yang betul bermula dari B18 hingga ke pasukan utama.
“Saya bersedia untuk meningkatkan lagi tahap profesionalisme buat pemain muda ini bersama-sama jurulatih dan kakitangan di Selangor FC,” ujarnya.
Bekking akan memulakan tugasnya secara rasmi di kelab bermula pada 1 Januari 2023.