PEMILIK majoriti pasukan Kedah Darul Aman FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar memberikan pesanan khas kepada penyokong Sang Kenari menjelang perlawanan ‘derbi utara’ diantara pasukan tersebut dan Penang FC bagi saingan suku akhir kedua Piala FA.
Menurut Dr Daud, beliau sudah lama tidak melihat Stadium Darul Aman dipenuhi dengan penyokong dan berharap agar penyokong Sang Kenari dapat memenuhinya pada perlawanan berdepan Penang.
Perlawanan ‘derbi utara’ merupakan satu perlawanan yang cukup panas dan ia mampu untuk menarik perhatian penyokong negeri Kedah untuk turun dan memenuhi Stadium Darul Aman itu.
“Misi Kehadiran 25,000 penyokong di Stadium Darul Aman. Misi ini adalah satu impian. Sudah lama Stadium Darul Aman tidak merasai suasana riuh dan meriah ini. Inilah masanya.
“Kehadiran seramai 15,000 adalah indah dan mempersonakan. Amazing. Kehadiran seramai 20,000 adalah luar biasa dan kejutan minda. Extra ordinary.
“Kehadiran seramai 25,000 adalah DIRI ANDA sebenarnya. Really you. Kami menunggu kehadiran anda dengan penuh harapan dan sanjungan,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Mengikut data, jumlah penonton paling ramai di Stadium Darul Aman musim ini ialah sebanyak 9,349 penonton ketika satu lagi perlawanan ‘derbi utara’ menentang pasukan Perak FC dalam saingan Liga Super pada 24 Mei lalu.
Kedah Darul Aman FC kini selangkah untuk mara ke separuh akhir, mendahului dengan agregat 1-0 selepas berjaya menumpaskan Penang FC di Stadium Bandaraya.
Dengan kehadiran penyokong ke Stadium Darul Aman, ia mampu memberi api semangat kepada pemain untuk menambah gol bagi mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.