JOVAN Motika muncul wira Kuala Lumpur (KL) City FC apabila berjaya membuka laluan kemenangan buat pasukannya dalam perlawanan Liga Super menentang Selangor FC yang berlangsung pada malam Ahad.

Pada awalnya, skuad kendalian Nidzam Jamil tampak lebih mendominasi 15 minit pertama perlawanan, dan KL City FC cuba mencuri peluang di sebalik fokus pemain Selangor FC dengan satu tandukan dibuat di hadapan gawang gol lawan, namun berjaya dikeluarkan semula.

Semangat skuad The City Boys masih tidak pudar apabila mereka terus cuba memberanikan diri melakukan serangan demi serangan di kawasan kotak penalti Selangor FC.

Separuh masa pertama akhirnya tamat dan keputusan seri 0-0 terikat walaupun pasukan Gergasi Merah turut melakukan serangan balas terhadap skuad lawan Lembah Klang itu.

KL City FC menang 1-0 menentang Selangor FC.

Beraksi dengan semangat baharu pada babak kedua perlawanan, KL City dan Selangor masing-masing cuba menampilkan prestasi lebih garang dari sebelumnya untuk meraih gol pembukaan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

The City Boys akhirnya berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-63 perlawanan menerusi pemain import baharunya, Jovan Motika. Ini juga merupakan gol sulung Jovan sejak bersama dengan KL City pada awal musim 2024.

Derbi Lembah Klang semakin sengit menjelang 15 minit akhir perlawanan sejurus menyaksikan anak buah Miroslav Kuljanac lebih bermotivasi untuk memburu jaringan keduanya, manakala Selangor FC semakin tertekan dengan satu jaringan pihak lawan.

Tamat 90 minit perlawanan dengan keputusan 1-0 terikat di gelanggang KL City FC sekali gus memberikan kemenangan kedua buat mereka dalam aksi Liga Super 2024-2025.