PENGENDALI Perancis Didier Deschamps memberikan pujian dan penghargaan kepada Olivier Giroud selepas penyerang itu memecahkan rekod penjaring terbanyak lelaki Perancis menerusi jaringan yang membantu negaranya menewaskan Poland 3-1 di peringkat 16 terbaik Piala Dunia FIFA Qatar 2022.

Jaringan ke-52 Giroud pada minit ke-43 itu memecah rekod yang sebelum ini dipegang oleh Thierry Henry dan Deschamps berkata ini adalah hadiah kepadanya kerana berjaya mengatasi segala kritikan dalam pelbagai tahap kerjayanya termasuk ketika dia gagal menjaringkan gol pada Piala Dunia FIFA Russia 2018.

Giroud kini telah menjaringkan tiga gol di Qatar dan Perancis berada pada tahap terbaik untuk mempertahankan kejuaraan menjelang aksi suku akhir menentang England pada Sabtu.

“Empat tahun yang lalu dia tidak menjaringkan sebarang gol tetapi dia masih lagi pemain yang penting. Dia mempunyai tempoh sukar dalam kariernya dan sering dikritik namun kini semua berjaya melihat kualiti yang ada pada dirinya.

“Dia kekal kuat secara mental dan telah berjaya memecahkan rekod yang sangat sukar yang dipegang Henry sebelum ini,” kata Deschamps dalam sidang media selepas perlawanan turut memuji persefahaman antara Kylian Mbappé dan Giroud yang telah dibina sejak 2018.

“Mereka kita lebih serasi bermain bersama dan suka secara teknikal hasil gandingan bersama sejak 2018. Saya gembira dan berharap dapat mengulangi pencapaian sama ketika 2018,” tambahnya.

Gandingan Mbappe dan Giroud sumbang lapan gol setakat ini.

Sementara itu, Giroud berkata pencapaian ini adalah impiannya sejak kanak-kanak dan memuji sikap kekitaan yang ada dalam pasukan yang dianggap sebagai tunjang utama kekuatan pasukan Perancis.

Perancis layak ke suku akhir selepas menewaskan Poland 3-1 hasil jaringan Giroud dan dua jaringan Mbappe sebelum Robert Lewandowski menjaringkan gol saguhati buat Poland melalui penalti pada saat akhir perlawanan.