PASUKAN Triple Eight Johor Motorsports Racing (JMR) kini bersiap sedia untuk memberi saingan sengit dalam perlumbaan berprestij Crowdstrike 24 Hours of Spa, iaitu sebahagian daripada perlumbaan Intercontinental GT Challenge yang akan berlangsung dari 27-30 Jun ini.

Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Hassanal Jefri yang mengetuai pasukan, kali ini mempunyai gandingan baharu iaitu pelumba berpengalaman Alexander Sims dan Martin Konrad. Sims merupakan seorang pelumba platinum dan bekas juara Perlumbaan Spa.

Martin Konrad, yang dikenali sebagai ‘the best bronze in the world’, telah menjadi pemandu amatur kedua dalam pasukan JMR untuk perlumbaan besar kali ini. Tidak lupa, Jordan Love juga akan melengkapkan barisan Triple Eight JMR demi memastikan perlumbaan ini berada dalam momentum terbaik.

Tunku Abdul Rahman dan Jordan Love.

“Pengalaman ini sangat hebat. Rasanya seperti tidak percaya bahawa saya dapat berlumba dalam perlumbaan 24 jam yang penuh legenda ini. Ia adalah satu acara besar, yang ketiga terbesar dalam acara GT dengan lebih daripada 60 kereta, 200 pemandu, dan saya benar-benar menantikannya.

“Penyertaan dalam perlumbaan GT Open 500 sebelum ini juga membantu saya mendapatkan lebih banyak pengalaman di litar ini kerana saya tidak pernah berlumba di sini sebelum ini. Jadi peluang untuk berlumba dalam perlumbaan ini memberi saya lebih banyak pengetahuan tentang litar ini, kerana saya cuba untuk belajar sebanyak mungkin.

“Sudah tentu ini akan menjadi perlumbaan yang panjang. Ini juga adalah kali pertama saya menyertai perlumbaan 24 jam dan kami pasti akan bekerja keras untuk memastikan semuanya berjalan lancar.

Tunku Abdul Rahman di dalam jentera yang digunakan oleh pasukannya.

“Saya antara dua orang pelumba dari Malaysia (dan Adrian D’Silva dari pasukan EBM) untuk perlumbaan ini, jadi ini adalah saat yang sangat membanggakan bagi kami dan berharap agar dapat membawa sesuatu pulang ke tanah air,” ujar Tunku Abdul Rahman.

Spa Francorchamps merupakan litar legenda yang menjadi tuan rumah Grand Prix Formula (1) Belgium, terkenal dengan ‘sifatnya’ yang mencabar daripada segi kelajuan, berbukit dan berliku.

JMR yang dibarisi dengan pelumba yang hebat, persiapan strategik dan kebijaksanaan pengurus pasukan Andrew Simpson, akan menjadi pasukan yang ‘diperhatikan’ pada acara Crowdstrike 24 Hours of Spa ini. Selepas Spa, JMR akan memberi tumpuan kepada Kejuaraan Indianapolis 8 Hour yang dijadualkan berlangsung pada 4-8 Oktober.