KETUA Jurulatih Negeri Sembilan FC, K. Devan berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan para pemainnya meskipun gagal meraih tiga mata penuh selepas diikat Sabah FC 1-1 dalam aksi Liga Super di laman sendiri.
Dia juga sedar akan kekurangan yang ada pada pasukannya dan mahu mengatasi masalah ini tetapi pada masa yang sama dia tidak bimbang dengan kedudukan semasa Negeri Sembilan FC di dalam carta.
“Saya berpuas hati dengan satu mata walaupun bermain di tempat sendiri. Sabah adalah pasukan yang kuat dan mereka bermain baik. Kita lebih baik dari mereka pada babak pertama dan babak kedua jadi milik mereka kerana apabila melakukan pertukaran pemain, mereka mempunyai pemain import tambahan berbanding kami.
“Sudah tentu mahu tiga mata tetapi satu mata ini juga keputusan yang baik. Kami bertahan dengan baik tetapi serangan kami kurang sempurna. Saya perlu beri perhatian tentang perkara ini tetapi saya perlu puji komitmen para pemain yang sangat bagus ketika bertahan.
“Masalah kurang fokus dan komunikasi yang kurang baik pada para pemain ketika ini boleh diatasi sekiranya kita bermain lebih kerap dan ada seorang ketua yang mampu memberikan arahan jelas di atas padang.
“Buat masa ini saya tidak memikirkan kedudukan liga berdasarkan skuad yang saya ada. Apa yang penting kami sudah menentang pasukan yang kuat dan masih belum bertemu pasukan yang dibawah oleh itu masih awal untuk risau kedudukan carta,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Ditanya apakah perkara utama yang dia mahukan untuk menambah baik pasukan ini, Devan secara terang mengatakan dia mahu menambah bilangan pemain import namun segalanya bergantung kepada pihak pengurusan pasukan.
“Saya mahu kuota pemain import dipenuhkan seperti apa yang jurulatih dan pasukan lain dapat tetapi semuanya bergantung pada keputusan pengurusan dan kewangan kelab sama ada boleh lakukannya atau tidak,” tambahnya.
Negeri Sembilan kini ditangga kesembilan dengan sembilan mata selepas tujuh perlawanan dan bakal berhadapan kelab Liga M3, PIB FC untuk aksi Piala FA sebelum bertemu Perak apabila Liga Super bersambung pada 19 April.