JURULATIH Negeri Sembilan FC, K. Devan memuji semangat juang yang ditunjukkan anak-anak buahnya ketika membantu Negeri Sembilan FC mencatatkan kemenangan pertama dalam Liga Super musim ini.
Devan juga gembira dengan aksi yang ditunjukkan oleh bekas pemain kebangsaan, Shahrel Fikri yang banyak membantu pasukan seleps dibawa masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua.
“Kita tahu kita kalah dengan pasukan terbaik dan tidak boleh bawa pada perlawanan seterusnya. Meskipun kalah besar tetapi pemain tetap bersemangat dan menunjukkan semangat juang dan kerja keras selama 90 minit untuk mencapai kemenangan ini.
“Banyak perubahan pada babak kedua terutama intensiti selepas kemasukan Sharel Fikri. Dia dibawa masuk selepas saya lihat Mahali tidak dapat membantu Casa terutama pada hantaran bola tinggi jadi saya masukkan Sharel dan nyata berkesan kerana dia rebut ‘second ball‘. Dia juga berjaya masuk ke dalam kotak penalti lawan dan melakukan percubaan beberapa kali.
“Shahrel masih dalam keadaan kecergasan yang kurang baik tetapi kemungkinan besar dia akan bermain dalam perlawanan kompetitif selepas dia kembali cergas sepenuhnya,” kata Devan dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Beberapa kata-kata semangat yang diberikan kepada para pemain di bilik persalinan selepas Terengganu menyamakan kedudukan berjaya membangkitkan semula fokus para pemain untuk mencipta kemenangan di hadapan lebih 3,000 penyokong sekalian yang setia.
“Kita berjaya jaringkan gol yang cantik tetapi kita juga lepaskan gol yang mudah kerana disiplin bertahan kurang baik dan kehilangan fokus hingga lawan dapat jaringkan gol.
“Saya beritahu pemain yang lawan mendapat gol adalah disebabkan kesilapan kita dan bukan sebab mereka lebih baik yang menaikkan semula semangat mereka untuk meraih kemenangan,” tambahnya.
Rehat dua minggu untuk memberi laluan kepada perlawanan persahabatan antarabangsa Fifa akan digunakan Devan untuk meningkatkan tahap kecergasan pemain terutama pemain import yang baharu dan juga membina persefahaman dengan pemain tempatan.
Kemenangan sulung ini melonjakkan Negeri Sembilan ke tangga dengan lima mata dari empat perlawanan dan akan berhadapan pasukan Kelantan apabila liga bersambung pada bulan Ramadan.