KEJAYAAN Korea Selatan dan Jepun menganjurkan Piala Dunia FIFA 2002 tersimpan kemas dalam ingatan seluruh penyokong bola sepak dunia dengan 10 kota di Korea Selatan telah dipilih untuk menjadi venue pertama di Asia yang menjasi saksi kepada acara bola sepak terbesar dunia itu.
Ulsan, sebuah bandar pelabuhan dan perindustrian di Tenggara Korea Selatan adalah salah satu kota yang terpilih dengan Stadium Ulsan Munsu dibina di Kompleks Sukan Munsu yang sehingga kini berbangga dengan kejayaan menganjurkan Piala Dunia FIFA 2002 dan pihak stadium mengabadikan kenangan itu dengan cara yang lebih bermakna.
Lawatan FLASH SUKAN ke stadium dengan kapasiti hampir 45,000 itu sempena aksi ketiga peringkat Kumpulan I, Liga Juara-Juara AFC mendapati ianya dilengkapi Dewan Peringatan Piala Dunia FIFA 2002 di tingkat dua stadium itu yang menjadi kebanggaan penduduk setempat.
Apa yang menarik, Ulsan bukan sahaja menjadi venue untuk tiga perlawanan Piala Dunia malah tiga pusat latihan yang dibina ketika itu menjadi kem latihan pasukan Turki, Sepanyol dan juara dunia edisi itu, Brazil yang dipimpin Luis Felipe Scolari.
Kemasukan percuma ke Dewan Peringatan itu juga adalah langkah untuk menarik minat pelancong ke Kompleks Sukan Munsu yang turut dilengkapi pelbagai kemudahan sukan lain seperti renang, baseball dan juga taman awam yang dilengkapi tasik.
Di Dewan Peringatan itu turut dipamerkan replika projek pembangunan awal Stadium Ulsan Munsu serta sebuah mural yang memperlihatkan kelibat pemenang kasut emas, Ronaldo De Nazario, penjaga gol legenda Bayern Munich, Oliver Khan dan hero Korea Selatan, Hong Myung-bo yang diperbuat daripada lebih 7,000 gambar penyokong ketika kejohanan.
Tambah menarik, Hong Myung-bo kini adalah pengendali kelab yang menggunakan stadium itu, Ulsan Hyundai yang bakal bertemu Johor Darul Ta’zim dalam aksi yang dijangka menarik.
Di stadium inilah kelibat Ronaldo, Ronaldinho, Rivaldo, Oliver Khan, Michael Ballack, Miroslav Klose serta Hakan Sukur dan Hassan San mencipta gemilang ketika membawa pasukan masing-masing menamatkan kejohanan sebagai juara, naib juara dan di tempat ketiga.
Untuk memastikan kelangsungan kewangan, tingkat basement stadium ini turut diubahsuai menjadi dewan perkahwinan premium yang dilengkapi sebuah dewan yang cukup mewah yang turut memuatkan bilik khas buat pengantin lelaki dan perempuan serta bilik keraian keluarga pengantin.
Meskipun sudah berusia lebih 20 tahun, stadium ini masih dijaga rapi dengan kenangan dan kemeriahan Piala Dunia FIFA 2002 itu masih terasa sehingga kini dan jangan lepaskan peluang berkunjung ke Dewan Peringatan itu sekiranya berkesempatan ke Ulsan.