PENERJUN wanita negara, Nur Dhabitah Sabri menganggap ketiadaan ‘peneman’ atlet terjun wanita lain terutama Datuk Pandelela Renong ke Sukan Olimpik Paris 2024 sebagai satu cabaran yang tetap harus ditelan.
Dhabitah yang memegang watak penting sebagai atlet terjun wanita telah dipilih oleh Persekutuan Renang Malaysia (MAS) bagi mengisi slot tambahan Akuatik Dunia sejurus mengambil bahagian dalam acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita.
Walaupun agak sulit baginya kerana bergerak secara ‘solo’ di sana, Dhabitah tetap akur dan memandang ke sudut positif terhadap tekanan yang dia sendiri letakkan itu. Baginya, dia hanya perlu melakukan terbaik dan menikmati perjalanannya di Olimpik nanti.
“Saya berasa lega, gembira dan bersyukur kerana terpilih ke Olimpik. Tidak dinafikan, memang ada kelainan untuk kejohanan kali ini kerana terdapat tekanan lebih kepada saya dengan ketiadaan Pandelela.
“Dan mungkin orang lain juga akan meletakkan tekanan sama pada diri saya sebagai atlet. Walaupun kita ada Bertrand Rhodict, dia masih ‘junior’ dan mungkin perasaan dia dan saya sebagai ‘senior’ agak berbeza.
“Tekanan ini saya letakkan lebih kepada diri saya sendiri kerana saya yang tetapkan sasaran terhadap diri saya. Sudah tentu setiap atlet mahu lakukan terbaik,” ujarnya ketika ditemui di Majlis Kerjasama antara Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Skechers pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, Dhabitah turut menegaskan bahawa dirinya enggan meletakkan sasaran yang terlampau tinggi di Olimpik nanti supaya dapat mengelakkan daripada berasa lebih tertekan.
“Mengenai sasaran, saya tidak mahu fikir terlalu jauh lagi kerana nanti diri sendiri yang akan tertekan. Jadi saya akan ambil langkah demi langkah dan fokus semasa latihan, fokus untuk ke separuh akhir dan seterusnya fokus ke final,” tambahnya.
Setakat ini, Dhabitah dan Rhodict antara atlet terjun negara yang telah terpilih dan berpeluang untuk membawa sinar Malaysia ke persada Sukan Olimpik yang akan berlangsung pada 26 Julai hingga 12 Ogos 2024 ini.