MASALAH kecederaan dialami Nur Dhabitah Sabri antara penyebab terjunnya bersama Datuk Pandelela Rinong dalam acara seirama 10 meter (m) platform wanita, gagal disempurnakan dengan cemerlang, sekali gus terlepas peluang ke Olimpik Paris, Julai depan.
Pengarah teknikal Persekutuan Renang Malaysia (MS), Bryan Nickson Lomas mendedahkan, Dhabitah beraksi dalam kecederaan tricep pada lengan, yang dialaminya sebaik tiba di Doha, sebelum kejohanan bermula.
“Malangnya Dhabitah berdepan kecederaan tricep yang diperoleh pada hari pertama tiba di Doha. Kecederaan itu memberi kesan besar kepada terjunannya dalam acara 10m.
“Tapi dia (Dhabitah) tetap yakin boleh meneruskan terjunan dalam acara 3m papan anjal,” kata Bryan, yang bersama skuad terjun di Doha.
Pada aksi 10m platform seirama malam tadi, Dhabitan-Pandelela mencatat mata 41.40, 40.80, 51.30, 50.88 dan 55.68 pada terjunan pertama hingga kelima, untuk mengumpul 240.06 mata, satu prestasi yang agak hambar di pamerkan di Pusat Akuatik Hamad.
Berakhirnya acara 10m platform seirama bermakna, tiada lagi ruang buat Pandelela yang sebelum ini menyumbang dua pingat kepada kontinjen negara di Temasya Rio (perak 10m platform seirama bersama Cheong Jun Hoong) dan Temasya London (gangsa 10m platform individu).
Begitupun peluang beraksi di Paris mungkin boleh menjadi kenyataan sekiranya tiket wild card diberikan kepada penerjun negara itu.