ATLET yang layak beraksi di Sukan Olimpik Paris, terutamanya menerusi kuota pada saat akhir diharap, memanfaatkan peluang itu dengan menampilkan prestasi cemerlang.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, tiket wild card yang diterima penerjun negara, memberi satu lagi kebanggaan dan beliau mengucapkan tahniah kepada Nur Dhabitah Sabri yang bertuah memilikinya.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mahu atlet negara yang mendapat peluang kedua ke Olimpik Paris, menampilkan prestasi terbaik. | Foto KBS

“Saya harap mereka telah berlatih seperti mengandaikan telah layak ke Paris, sebelum ini,

“Jadi saya mahu mereka memanfaatkan peluang ini malah Dhabitah, sememangnya sudah menerima sokongan di bawah program Road to Gold (RTG), atlet di bawah program ini sudah mendapat segala-galanya.

“Apa yang mereka minta telah disediakan dan mereka telah membuat persiapan,” kata Hannah, ditemui selepas menghadiri Kejohanan Sukan Tempur Peringkat Kebangsaan di Dewan Bankuet UPM Serdang.

Terdahulu, Dhabitah akan membuat penampilan ketiga di Sukan Olimpik selepas layak menerusi lebihan kuota yang tidak digunakan atlet negara lain.

Perkara itu dikongsi Pengarah Teknikal Persatuan Renang Malaysia (MS), Bryan Nickson Lomas selepas badan induk sukan renang itu menerima emel daripada Akuatik Dunia, memaklumkan perkara terbabit.

Nur Dhabitah Sabri akan membuat penampilan ketiga di Temasya Olimpik Paris nanti.

Justeru, Dhabitah akan dapat beraksi dalam acara kegemarannya, 3 meter (m) papan anjal di Temasya Paris nanti.

Sebelum ini, Dhabitah pernah beraksi di dua temasya Olimpik, iaitu di Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Bagaimanapun, nasib penerjun lelaki, Ooi Tze Liang hanya akan diketahui 8 Julai ini.

Justeru, buat masa ini, Malaysia mempunyai dua wakil di Temasya Paris iaitu Bertrand Rhodict Lises dan Dhabitah.