KETUA Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio menjelaskan bahawa kesemua pemainnya menunjukkan kesungguhan ketika sesi latihan dan berhak untuk diturunkan dalam perlawanan menentang PJ City City pada aksi pembukaan Piala Malaysia, Rabu malam.

Dia juga gembira apabila berjaya menjaringkan gol awal sekaligus memudahkan barisannya untuk bermain secara ‘possesion’ dan kelihatan lebih baik selepas menjaringkan gol pertama.

Bekas pemain antarabangsa Venezuela itu juga menegaskan JDT bukanlah pasukan yang bergantung kepada seseorang individu sebaliknya adalah skuad yang kolektif dan bermain dengan mentaliti untuk menang.

“Ianya bukanlah satu perlawanan yang mudah dan saya memberikan peluang buat para pemain untuk beraksi kerana kesemua mereka menunjukkan kesungguhan ketika latihan dan mereka berhak untuk diturunkan pada perlawanan ini.

“Kami bermain dengan mentaliti yang baik dan berjaya menjaringkan gol awal. Selepas itu kami mampu mengawal permainan dan bermain dengan lebih sabar serta kami kelihatan lebih baik selepas menjaringkan gol pertama.

“Di JDT, kami tidak bergantung kepada satu atau dua individu dan kami bermain secara kolektif dengan kesemua pemain berusaha untuk mencipta peluang dan menjaringkan gol, oleh itu ketiadaan Bergson tidak menggangu permainan kami,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Pemain JDT meraikan jaringan Safawi Rasid

Ditanya adakah dia akan merehatkan pemain utama dan memberi laluan kepada pemain muda pada perlawanan timbal balik nanti, Hector menjelaskan dia belum memikirkannya lagi dan akan melihat kepada prestasi pemain ketika sesi latihan.

Dengan kemenangan selesa 4-0 ini, Harimau Selatan dilihat seakan-akan sudah selangkah ke suku akhir dan masih meneruskan rekod tanpa kalah dalam semua pertandingan domestik yang disertai musim ini.