PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) berazam mahu mengekalkan momentum kemenangan apabila berdepan Negeri Sembilan FC pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Jumaat namun tidak memandang rendah keupayaan lawan.

Harimau Selatan yang kini mengungguli takhta Liga Super bakal berdepan pasukan tangga terbawah namun pengendalinya, Hector Bidoglio tetap menganggap ianya satu perlawanan yang sukar dan mereka perlu berhati-hati.

Bidoglio turut mengakui tiga mata itu penting untuk menjarakkan diri dalam saingan liga selain mahu mempersiapkan diri bagi mengharungi saingan Liga Juara-Juara AFC Elite menentang Ulsan HD FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 5 November.

Bidoglio tidak mahu pandang rendah keupayaan Negeri Sembilan di Paroi

“Dua perlawanan yang bakal kami hadapi amat penting iaitu menentang Negeri Sembilan dan Ulsan HD malah saya anggap kedua-dua perlawanan itu begitu sukar buat kami ditambah pula perlu mengharungi jadual yang padat.

“Kami berada dalam keadaan terbaik dan mahu mengekalkannya namun perlu berwaspada dengan ancaman lawan meskipun mereka di tangga terbawah liga tapi mereka sudah pasti mahu membuktikan sesuatu apabila bermain di laman sendiri.

“Pada pandangan saya sejak bermulanya saingan liga, pemain menunjukkan peningkatan yang mendadak terutama peningkatan aspek intensiti permainan malah mereka beraksi dalam satu pasukan dan mereka tahu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan,” katanya.

JDT mahu teruskan momentum terbaik dalam Liga Super

Apapun, pengendali kelahiran Argentina itu tidak menolak akan melakukan penggiliran pemain bagi menghadapi skuad kendalian K Nanthakumar yang dibarisi pemain berkualiti terutama pemain import dari Jepun, Takumi Sasaki dan pemain import dari Brazil Ricardo Pires serta beberapa pemain tempatan.

“Semua pemain berada di tahap kecergasan yang memuaskan dan ini memberi peluang kepada saya untuk memilih siapa yang akan beraksi nanti dan kita tengok nanti kesebelasan yang akan diturunkan,” jelasnya.

JDT masih segar dari kejayaan membenam Selangor FC 3-0 pada Ahad dan sudah pasti mahu mendapatkan tiga mata penuh bagi mengukuhkan lagi kedudukan sekaligus menghampiri kejuaraan liga kesebelas berturut-turut.