TANPA berselindung Irfan Bakti Abu Salim melabel penolong jurulatihnya, Sulaiman Hussin sebagai Arsene Wenger Malaysia kerana lama berkhidmat dengan pasukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kini, kedua-dua jurulatih itu kembali bergabung tenaga dan idea untuk skuad Kuching City FC pada musim kedua perkhidmatan bagi mengharungi saingan Liga Super 2023 nanti.
Kejayaan kelab Sarawak itu mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia sebelum ditundukkan Sabah FC membuka luas para pemerhati bola sepak tempatan serta peminat.
Kini, fokus utama Irfan Bakti adalah mula menyusun strategi awal kerana sedar kualiti Liga Super jauh lebih tinggi berbanding saingan di Liga Premier.
“Saya sudah berbincang dengan penolong, Sulaiman Hussin mengenai apa rancangan kami seterusnya termasuk bersama pihak pengurusan untuk program tahun depan.
“Sulaiman sendiri telah kenalpasti pemain asing dan juga pemain import tempatan untuk diserapkan dalam Kuching City.
“Secara kebetulan, Sarawak tiada tahun depan… jadi mungkin Kuching City wakili pasukan Sarawak,” katanya dalam sembang santai kepada FLASH SUKAN di Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Jelas pengendali kelahiran Perak namun dibesarkan di Kelantan itu, untuk bersaing di Liga Super pasukannya harus menyediakan skuad mantap dan jitu.
Sebaliknya, Irfan Bakti tidak mahu penyertaan mereka di Liga Super menjadi kelab belasahan semata-mata seperti pernah terjadi kepada beberapa pasukan sebelum ini.
“Kita tak nak jadi macam itu. Kita nak pemain yang boleh beraksi di Liga Super,” katanya pernah membimbing Pulau Pinang, Melaka TMFC, Persipura Jayapura dan Perlis.
ARTIKEL BERKAITAN : “Masih ada saingan 90 minit, jangan bolos lagi, jangan gopoh” – Sulaiman Hussin
Menurutnya lagi, peranan Sulaiman kepada pasukan cukup bermakna dan mustahak dalam pembentukan pasukan The Cats sepanjang musim ini.
“Tanpa dia saya tak boleh buat kerja. Dia la banyak membantu saya dalam pasukan. Dia masih muda, masa masih panjang. Mungkin Sulaiman satu hari ‘take over’ sebab dah serasi dengan team ni.
“Masa dia di UKM, beberapa tahun dia bersama, cukup lama. Saya gelar Sulaiman sebagai Arsene Wenger Malaysia.
“Dia pun ada pengalaman, dia bekas pemain jadi tak susah boleh introduce pengalaman yang ada. Saya seronok dia jalankan tugas dengan baik,” katanya.