PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkongsi sikap terpuji yang dimiliki bekas penyerang Harimau Malaya, Mohd Safee Mohd Sali persis legenda bola sepak kebangsaan, Allahyarham Mokhtar Dahari.
Menurut Hamidin, Safee memiliki karakter yang sangat merendah diri menyebabkan dia disenangi setiap rakan dan pemain yang pernah bersama skuad Selangor dan Harimau Malaya.
Tanpa mengira darjat, Safee melayan semua orang sama dengan kesopanan dan tatasusila yang sangat lembut sehingga dia begitu disegani orang-orang kenamaan yang menyaksikan keperibadiannya yang luar biasa.
“Apa yang saya hendak kaitkan dengan Safee Sali dengan Allahyarham Mokhtar Dahari ini ialah sikap Safee ini adalah seorang yang agak pendiam.
“Cara dia amat lembut dan soft spoken sehinggalah dia bersara pada hari ini.
“Safee Sali walaupun pada kemuncaknya pada suatu ketika, dia begitu menghormati orang lain. Inilah suatu kualiti yang jarang dapat dilihat bagi seorang pemain.
Jika membuat perbandingan dengan rakan seperjuangannya, Safiq Rahim, sikap kedua-dua pemain itu boleh diibaratkan langit dan bumi kerana Safee amat mudah mengangkat panggilan meskipun ketika berada di puncak kariernya.
Manakala, sedikit berbeza bagi Safiq Rahim yang agak sukar mengangkat panggilan telefon apabila namanya telah terukir megah sebagai pemain bola sepak yang berjaya.
“Safee Sali ini sangat humble. Itu straight forward saya beritahu anda. Saya pun ada seorang kawan lagi Safiq Rahim tetapi apabila dia senang, dia sukar hendak mengangkat telefon. Bila dia (Safiq) dekat atas itu, dia lupa sedikit.
“Itu antara karakter dia yang saya suka, jadi bila-bila saya hendak telefon dia tidak menjadi masalah baginya untuk mengangkat telefon,” katanya.
Safee merupakan seorang penyerang yang berjaya mengecapi kemanisan Piala AFF apabila skuad Harimau Malaya berjaya meraih gelaran sulung pada tahun 2010.
Selain itu, dia juga menjadi antara pemain pertama yang berjaya mengembangkan sayapnya ke Liga Indonesia bersama Pelita Jaya FC pada tahun 2010-2013.
Pada tahun 2011, Safee ditawarkan percubaan dua minggu dengan kelab Liga Perdana Inggeris, Cardiff City namun gagal meneruskan hajatnya kerana ranking pasukan Malaysia pada ketika itu yang agak berada di bawah ranking 150 dunia.