KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon memuji karakter yang dimiliki penyerang bertubuh cilik, Mohamad Faisal Abdul Halim.

Menurutnya, Faisal merupakan seorang pemain yang tidak mementingkan diri sendiri dan keutamaannya adalah bersama pasukan Selangor FC.

Biarpun kelihatan ‘berlagak’, namun pemain ini sentiasa merendah diri dan mempamerkan sikap positif setiap kali diberikan kepercayaan jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe.

Sebagai seorang penyerang, Faisal telah membantu pasukan dengan empat bantuan jaringan dan sentiasa menerapkan prinsip mentaliti juara sekaligus dia perlu diangkat antara pemain paling tempatan paling bernilai dimiliki Gergasi Merah.

“Saya boleh lihat dia adalah pemain yang bermain secara berpasukan. Dia mementingkan pasukan. Dia tidak bermain untuk diri sendiri. Kita mendapat banyak manfaat daripada pemain ini.

“Walaupun nampak dia macam ‘star’ dan memakai jersi No. 7, dia tetap beri peluang kepada orang lain untuk melakukan jaringan. Untuk dia bukan star, dia mementingkan pasukan dahulu berbanding individu.

“Saya rasa Faisal Halim seorang yang sangat positif dan memberi impak kepada pasukan Selangor FC. Kita lihat dari segi perwatakannya ingin menang setiap perlawanan.

“Dahaganya ingin memperoleh kemenangan, semua kita dapat lihat pasukan Selangor telah terpengaruh dengan mentaliti juara Faisal Halim.

“Dia sangat berbahaya. Dia banyak terlibat dengan serangan, ada empat bantuan jaringan bersama Selangor. Sumbangan sangat baik untuk penyerang tempatan,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas sumbangan pemain import pada musim ini berbanding musim lalu, Dr. Johan mengakui sumbangan lapan pemain import kini adalah pada tahap memberangsangkan.

Dengan kehadiran beberapa import baharu yang dibawa masuk seperti Ayron Del Valle, Yohandry Jose Orozco Cujia, Noor Al-Rawabdeh, Rauf Salifu dilihat sangat memberi kesan dalam empat perlawanan dengan berhasil memungut 10 mata.

“Saya rasa sumbangan pemain import sangat baik. Sekarang kita ada 8 pemain import. Sangat penting untuk jurulatih memberi peluang kepada pemain import mempamerkan persembahan.

“Setakat ini, kita melihat sumbangan pemain import sangat baik. Mereka dapat menjaringkan gol dan assist. Mereka juga terlibat dengan keputusan 10 mata dari 4 perlawanan. Secara keseluruhan, pemain import sangat berkesan,” katanya.