VILLARREAL mara ke perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara untuk kali pertama dalam tempoh 16 tahun selepas menundukkan Bayern Munich.

Kejayaan itu hasil cetusan dan motivasi daripada jurulatih Die Roten, Julian Nagelsmann, yang dikatakan meremehkan perjuangan Villarreal.

The Yellow Submarine datang ke Allianz Arena pada Rabu berbekalkan agregat 1-0 dan kelab kendalian Unai Emery sedar apa yang bakal menanti mereka.

Disiplin benteng pertahanan yang dikemudi bersama Dani Parejo membuatkan Bayern sedikit gusar.

Jaringan lewat Samuel Chukwueze memberi kemenangan kepada Villarreal. Foto: Getty Images

“Ketika undian keluar dan Bayern akan bertemu kami, jurulatih mereka, yang saya tak tahu namanya, memberitahu dia ingin menyelesaikan aksi ini di pusingan pertama. Dia tak menghormati kami, dan juga bola sepak secara keseluruhan.

“Ketika anda mengatakan sesuatu yang tak baik, kadang-kadang ia akan berbalik semula kepada anda,” kata Parejo kepada Movistar selepas perlawanan.

Villarreal sedang menunggu pemenang Liverpool dan Benfica di separuh akhir. Manakala, Munich seperti biasa kembali memberi tumpuan gelaran Bundesliga yang menjadi rutin sejak sembilan musim terakhir.