KELANTAN Darul Naim (KDN) FC yang beroperasi dalam diam, kini sedang rancak merekrut awang-awang import demi memperkuatkan jentera pasukan untuk menghadapi saingan bola sepak musim 2024-2025.
Baru-baru ini, laman rasmi KDN FC mengumumkan bahawa mereka telah membawa masuk seorang penyerang sayap muda yang berasal dari Bolivia, David Ribera Viana.
Pemain berusia 23 tahun itu rajin mendapatkan minit permainan sejak melakukan debut profesional pada 2019 bersama kelab divisyen utama negaranya, Royal Pari.
Tahun lalu, David mencatatkan penampilan sebanyak 23 perlawanan bersama pasukannya, dalam kesemua kategori saingan.
Lebih hebat lagi, David turut mendapat panggilan antarabangsa skuad senior Bolivia pada tahun 2023 setelah menunjukkan prestasi baik dalam saingan liga, selain turut menganggotai pasukan bawah 20 tahun sebelum itu.
Sentuhan daripada David adalah yang ditagih oleh barisan kejurulatihan dalam usaha untuk memperkuatkan posisi tengah dan serangan, kerana dirinya mempunyai kepantasan tersendiri apabila melakukan serangan balas.
Sementara itu, seorang lagi penyerang telah berjaya diikat oleh KDN FC, iaitu Chadrack Lukombe Muzungu yang merupakan bekas penyerang antarabangsa DR Congo.
Chadrack yang berusia 26 tahun adalah pemain sensasi yang berkhidmat di Liga Morocco sebelum ini, bersama pasukan RS Berkane dan berjaya membantu pasukannya untuk muncul sebagai juara Piala Liga Morocco sebanyak dua kali.
Dengan kehadiran dua import baharu ini, Kelantan Darul Naim pastinya mengharapkan sinar yang luar biasa bagi menonjolkan semula nama KDN FC dalam saingan Liga Malaysia yang akan berlangsung tidak lama lagi.