BINTANG pertahanan Manchester City, Ruben Dias, mengakui bahawa ramai yang mahu melihat pasukannya gagal ketika mengalami kekalahan keempat berturut-turut.
Sacara jelasnya ia adalah keputusan yang mengejutkan bagi pasukan yang sudah lama mendominasi saingan Liga Perdana Inggeris.
Kekalahan terbaharu kepada Brighton pada Ahad lalu mencatatkan empat kekalahan berturut-turut dalam semua pertandingan City, membolehkan Liverpool mengukuhkan kedudukan lima mata di puncak liga.
Dias, yang telah memenangi empat gelaran liga bersama City, mengakui bahawa mereka kini menjadi sasaran utama pasukan-pasukan lain namun percaya bahawa cabaran ini hanya akan menambah keistimewaan kejayaan mereka.
“Ini perkara biasa untuk masa-masa seperti ini berlaku, terutamanya kerana ramai yang mahu melihat kami jatuh. Kami terima dan raikan cabaran ini.
“Ini adalah sebahagian daripada sebab mengapa kami cintakan permainan ini kerana jika tiada cabaran seperti ini, kemenangan kami tidak akan bermakna sebesar mana ia sekarang,” katanya.
Manchester City kini berada dalam situasi yang tidak pernah dialami sejak tahun 2006, manakala pengurus Pep Guardiola juga buat pertama kalinya mengalami kekalahan dalam empat perlawanan berturut-turut sepanjang kerjayanya.
Namun, City terkenal sebagai pasukan pemenang berpengalaman, dan masih terlalu awal untuk menidakkan kebolehan mereka bagi musim ini.
Selepas kekalahan kepada Bournemouth, Tottenham, Sporting CP, dan Brighton, Guardiola kini mengharapkan pasukannya kembali ke prestasi terbaik apabila mereka bertemu Spurs dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada 24 November ini.