PASUKAN Kedah Darul Aman (KDA) FC bakal menerima beberapa muka baharu ketika tingkap perpindahan bermula pada 28 Mei ini, demikian kata Ketua Eksekutif KDAFC Khamal Idris Ali.
Kedah yang telah mengalami kekalahan berturut-turut ketika bertemu Sabah FC di Kota Kinabalu dan Melaka United FC di Stadium Darul Aman tidak mahu bersabar lagi dengan barisan pemain yang cedera dan juga para pemain yang gagal beraksi dengan prestasi seperti yang diharapkan oleh pegawai KDAFC.
“Kemungkinan besar kita akan mengemukakan tiga pemain import baharu bagi menggantikan Dennis Buschening yang cedera dan terpaksa mengambil masa enam bulan untuk kembali pulih serta dua lagi pemain import yang gagal beraksi seperti yang diharapkan oleh kita.
“Ketika ini saya tidak lagi mahu sebut nama kedua pemain yang kemungkinan besar bakal ditamatkan kontrak mereka tetapi kita dapat menyaksikan prestasi mereka pada tujuh perlawanan yang berlalu.
“Bukan setakat barisan pemain import malah beberapa pemain tempatan yang kerap cedera dan gagal bereaksi dengan keupayaan sebenar juga kemungkinan besar bakal meninggalkan pasukan Kedah,” ujar Khamal ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Malam ini pasukan Kedah akan bertemu PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan semua pemain bakal mendapat peluang sekali lagi untuk meningkatkan prestasi mereka.
“Setelah dua kekalahan berturut-turut kita tidak mampu mengalami kekalahan lagi kerana ini akan menyukarkan lagi usaha kita berada di dua tempat teratas Liga Super.
“Ketika ini kita berada di tempat keempat pada tangga Liga Super dan beberapa pasukan berada di bawah kita hanya beraksi empat perlawanan dan kemenangan di raih oleh pasukan ini pasti akan memastikan kita turun lagi pada tangga liga.
“Saya yakin ketua jurulatih Aidil Sharin akan melakukan terbaik untuk mengembalikan keyakinan barisan pemain Kedah untuk mengecewakan PJ City malam ini.
“Barisan pemain Kedah kini perlu peka dengan keadaan dan kedudukan mereka pada tangga liga hanya prestasi yang lebih meyakinkan sahaja mampu memastikan mereka pulang dari Petaling Jaya FC dengan tiga mata penuh.
“Saya juga yakin barisan pemain yang bakal beraksi pada perlawanan malam ini mengetahui apa yang perlu mereka lakukan dan juga harapan ribuan peminat pasukan yang akan membanjiri stadium MBPJ,” kata Khamal yang akan turut berada di stadium malam ini,” tambahnya.