PENGURUS bola sepak England, Gareth Southgate mungkin akan kehilangan lima pemain utama daripada skuadnya selepas mengalami krisis kecederaan.

The Three Lions telah mengesahkan tempat mereka dalam Kejohanan Eropah musim panas depan dengan dua lagi baki perlawanan. Namun, jurulatih Southgate yang menamakan skuad England terbarunya pada hari Khamis, berharap menggunakan perlawanan terakhir di rumah sendiri melawan Malta dan pergi ke Macedonia Utara untuk membantu menetapkan rancangan terakhirnya bagi Euro 2024.

Walau bagaimanapun, Tottenham telah mengesahkan bahawa James Maddison, 26, telah ditarik daripada tugasan antarabangsa kerana kecederaan. Bekas bintang Leicester City itu mengalami kecederaan semasa kekalahan 4-1 Spurs di rumah kepada Chelsea pada Isnin dan kini Ange Postecoglou telah mendedahkan dia akan dikeluarkan sehingga 2024.

Dia berkata: “Madders jauh lebih teruk daripada yang kita fikirkan. Dia datang dengan kecederaan pergelangan kaki dan keesokan harinya (dia) tidak kelihatan baik, jadi kami hantarnya untuk imbasan. Hal ini tidak bagus untuknya dan mungkin (kembali semula) pada awal tahun baru”.

Dia juga berpotensi menyertai empat pemain lain yang turut bergelut dengan masalah kecederaan. Rakan penyerang, Bukayo Saka, 22, terpaksa dikeluarkan kerana tercedera ketika mewakili Arsenal dalam kemenangan Liga Juara-Juara mereka menentang Sevilla minggu ini.

James Maddison. Foto kredit: Getty Images

Dia didapati tercedera pada bahagian buku lali dan diragui untuk menyertai perlawanan Liga Perdana menentang Burnley malam ini. Selain Maddison dan Saka, terdapat juga kerisauan mengenai ketersediaan penyerang berusia 31 tahun, Callum Wilson.

Bintang Newcastle itu telah menjaringkan tujuh gol dalam Liga Perdana musim ini namun mengalami kecederaan hamstring dalam kekalahan pasukannya di Liga Juara-Juara menentang Dortmund pada hari Selasa.

Kini, kedua-dua Magpies dan Southgate akan menantikan sama ada Wilson mampu untuk menyertai perlawanan menentang bekas kelabnya, Bournemouth, pada hujung minggu ini sebelum cuti antarabangsa.

Ketiadaan pemain utama yang berpotensi seterusnya adalah Jude Bellingham. Pemain berusia 20 tahun itu setakat ini telah menjaringkan sebanyak 13 gol dalam 14 perlawanan Real Madrid sejak kehadirannya pada musim panas lalu.

Bagaimanapun, dia kekal sebagai pemain simpanan yang tidak digunakan semasa kemenangan Liga Juara-Juara mereka 3-0 ke atas Sporting Braga minggu ini kerana dia sedang pulih dari kecederaan bahu.

Kini, situasi semakin rumit dan menggusarkan apabila Kapten Brighton, Lewis Dunk yang tercedera pada paha dalam kemenangan 2-0 mereka di Liga Europa menentang Ajax semalam.

Pemain tengah berusia 31 tahun yang telah menerima tiga cap England, ditarik keluar pada separuh masa kerana masalah saraf paha. Buat masa ini, Southgate akan memantau sama ada Dunk yang baru-baru ini bersinar untuk negaranya dalam kemenangan ke atas Scotland dan Australia mampu untuk bermain pada hari Ahad menentang Sheffield United.