PEMILIK Johor Darul Ta’zim FC (JDT) Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan pemain kacukan negara, Dion Cools akan bersama kelabnya tidak lama lagi.
Menurut Tunku Ismail, Dion Cools sudah lama mempunyai hubungan dengan JDT dan dirinya.
“Dia memang mahu bermain di sini. Situasinya, dia nak main di sini untuk ‘window’ ini, tetapi susah sikit untuk kelab berkenaan dengan bajet dan terpaksa bayar pampasan kerana dia masih ada kontrak lagi di kelab sana.
“Jadi kita akan ‘sign’ untuk dia hujung tahun ini atau tahun depan,” jelasnya ketika Sesi Soal Jawab Bersama Penyokong-Penyokong JDT secara langsung di Facebook rasmi kelab, Isnin malam.
Tunku Ismail menjelaskan bahawa Dion Cools tahu bermain di Eropah bukan mudah kerana sangat kompetitif.
“Kerana orang yang bijak sahaja yang tahu menilai projek di JDT.”
Sebelum ini spekulasi mengenai pemain Midtjylland FC yang kini dipinjam ke Sportvereniging Zulte Waregem ini bakal bermain dengan JDT timbul selepas Tunku Ismail berkongsi gambar bersama pemain itu di Instastorynya.
Dion Cools juga merupakan antara tonggak utama yang membantu skuad Harimau Malaya layak ke pentas Piala Asia 2023.