NOVAK Djokovic gagal menjuarai Wimbledon 2023 setelah dikalahkan oleh pemain nombor satu dunia Carlos Alcaraz di final perseorangan lelaki pada Ahad.

Djokovic terpaksa mengakui keunggulan Alcaraz, yang tampil mengagumkan. Biarpun sudah beraksi cemerlang pada set pertama, Djokovic akhirnya tewas kepada pemain tenis dari Sepanyol itu.

Alcaraz, yang baru berusia 20 tahun, menewaskan legenda tenis dari Serbia itu dengan mata 1-6, 7-6(6), 6-1, 3-6, dan 6-4 dalam pertarungan sengit selama empat jam dan 42 minit.

“Ini adalah impian yang menjadi kenyataan bagi saya,” kata Alcaraz membuka ucapannya pada penganugerahan trofi kejuaraan Wimbledon 2023.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, sudah tentu ia bagus untuk menang. Walaupun saya kalah saya akan sangat berbangga dengan diri saya kerana telah melangkah sejauh ini. Mencipta sejarah dalam kejohanan yang indah ini dan bersaing di final menentang legenda,” sambung Alcaraz.

Alcaraz, yang memenangi kejuaraan utama pertamanya pada Terbuka AS 2022, berjaya menamatkan rekod kemenangan ke-34 berturut-turut Djokovic di Wimbledon.

Biarpun pada mulanya wajah Djokovic sedih kerana gagal merangkul kejuaraan Wimbledon buat kali kelapan, Djokovic dengan bangganya memuji persembahan Alcaraz.

“Anda telah memenangi kejohanan ini. Sekarang ini mungkin anda berada dalam keadaan yang lebih baik daripada saya,” kata Djokovic.

Image

Alcaraz kejutkan Djokovic di pentas final Wimbledon 2023.

“Umur 36 adalah 26 tahun baharu, anda berjaya merealisasikannya. Ia menakjubkan. Kualiti yang menakjubkan pada penghujung permainan,” sambung Djokovic, yang kini berusia 36 tahun.

Kekalahan kepada Alcaraz menggagalkan usaha Djokovic untuk menyamai rekod lapan gelaran Wimbledon milik Roger Federer. Namun, Djokovic mungkin dapat merealisasikannya tahun depan.