SAIDA Mouh membuka tangan selebar-lebarnya, memberikan pelukan hangat kepada anaknya, Achraf Hakimi, yang menjaringkan gol penentu untuk Maghribi melayakkan diri ke suku akhir Piala Dunia 2022
Hakimi menjaringkan gol untuk mengetuai Maghribi menyingkirkan perjalanan Sepanyol dalam pusingan 16. Di tengah-tengah sambutan kemenangan, Hakimi menghampiri ibunya di tepi stadium dan menyambut ciuman penuh doa daripada ibu.
“Saya sayang kamu, ibuku,” ujar Hakimi, kembali meluahkan rasa cinta ini menerusi Twitter peribadinya.
Keluarga Hakimi tergolong dalam kelompok diaspora (populasi yang bertaburan merentasi wilayah yang terpisah dari tempat asal geografinya) Maghribi di Sepanyol. Mereka menjadi etnik minoriti di negara itu dengan penduduk sekitar 800,000 orang.
“Ibu saya seorang pembantu rumah dan bapa saya seorang penjual jalanan,
“Hari ini, saya bermain untuk mereka,” katanya dalam program TV Sepanyol El Chiringuito.
Aksi Hakimi adalah gambaran satu kuasa doa ibu di Piala Dunia 2022. Kisah keakraban yang memberi inspirasi kepada ramai orang di Piala Dunia.
“Hakimi dan ibunya mencairkan hati saya, apalagi mengetahui kisah mereka,” tulis seorang pengguna media sosial.
Kehadiran ahli keluarga pasukan Maghribi telah menjadi inspirasi untuk orang ramai yang meminati Piala Dunia.
Sebahagian besar menghargai doa ibu dan sokongan saudara mara di stadium sebagai ramuan kejayaan bersejarah mereka.
Ma nation ❤️🇲🇦 pic.twitter.com/mwWFjC655p
— Achraf Hakimi (@AchrafHakimi) December 7, 2022
Sebelum kejohanan itu, Persekutuan Bola Sepak Maghribi memutuskan bahawa ahli keluarga daripada skuad itu akan diterbangkan ke Qatar. Turut mengambil peluang terbang ke Qatar ialah Fatima, ibu kepada jurulatih Walid Reragui.
“(Walid) akan membuat semua orang yang menonton bangga. Bantu dia dan dia akan membantu anda,” kata Fatima kepada Al-Mountakhab.
“Saya membesarkannya untuk memiliki kecemerlangan… semoga Allah memberi kemudahan dan keselesaan kepadanya dan semua orang,” kata Fatima
Selepas kemenangan sensasi ke atas Sepanyol, beberapa pemain Maghribi turun ke tempat penonton untuk meraikan bersama rakan dan keluarga.
Antaranya ialah penyerang Youssef En-Nesyri, yang dirakam secara emosi memeluk dan mencium bapanya.
“(Jurulatih Sepanyol) Enrique telah gagal menewaskan ibu Arab yang percaya anak lelaki mereka adalah yang terbaik di dunia tidak kira apa pun,” seloroh penulis Omar D Foda.