SEBAK penulis mendengar berita bintang bola sepak negara, Faisal Abdul Halim, disimbah asid sehingga mengakibatkan sebahagian wajah dan badannya melecur.
Kisah sebegini tidak pernah berlaku di tanah air tercinta kita.
Seorang atlet lazimnya dilayan dengan penuh hormat terutama bagi mereka yang masih aktif mewakili negara.
Hanya beberapa hari sebelum itu, keluarga bola sepak negara digemparkan dengan kes pemain sayap Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid yang cedera di kepala selepas dipukul dan menjadi mangsa samun. Kakinya juga dicederakan.
Sepanjang lebih tiga dekad penulis membuat liputan sukan, khususnya bola sepak, insiden menyedihkan sebegini tidak pernah berlaku,
Penulis selepas di ketahui kejadian, terus ke wad kecemasan salah satu hospital swasta di Petaling Jaya dan melawat Faisal, memamg amat sedih sehingga penulis menitis air mata melihat keadaan sebenar Faisal semasa rawatan doktor.
Apakah motif dan niat di sebalik pelaku yang menyimbah cecair itu dengan niat jelas mencederakan seorang atlet negara?
Sesungguhnya perkara sebegini tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja.
Penulis percaya pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat perkara ini sehingga selesai kerana ia membabitkan keselamatan pemain bola sepak negara.
Kita tidak mahu pemain bola sepak berprofil tinggi mengalami perkara sebegini, seolah-olah diserang untuk mencederakan mereka agar mereka tidak aktif untuk tempoh tertentu.
Kebetulan Faisal dan Akhyar adalah dua pemain sayap yang menjadi calon pilihan jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon, menjelang pertemuan pra-Piala Dunia di Kyrgyzstan Jun nanti.
Sambil kita mendoakan agar kedua-duanya cepat pulih, penulis berkongsi sentimen Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, yang bersedih dengan kejadian itu.
Kita mendoakan agar Faisal khususnya diberi kekuatan untuk sembuh dan kembali beraksi. Anak jati Pulau Pinang ini dijangka terpaksa menjalani pembedahan plastik untuk memulihkan kecederaannya.
Kejadian ini tentu sekali meninggalkan kesan trauma bagi seorang pemain yang baru sahaja memperkenalkan jenama pakaiannya sendiri FH7 tidak sampai seminggu.
Lagi pula sepak mula musim 2024 akan dilakukan Jumaat ini tetapi Faisal nampaknya berdepan ujian amat berat.
Di saat nilai komersial Faisal berada di puncak, dugaan yang melanda harus mencelikkan mata kita bahawa masyarakat kita ada penyakit jiwa.
Faisal yang kini dirawat di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya, berada dalam keadaan stabil.
Dengan majoriti peminat dan netizen pelaku ditangkap segera dan dihadapkan ke muka pengadilan, ia tidak semudah itu.
Namun andai ada rakaman CCTV serta kenyataan saksi, tidak mustahil PDRM yang terkenal dengan kaedah siasatan segera dan terperinci, mampu menangkap pelaku dan menyelesaikan kes ini dengan pantas.
Sambil itu, wajarlah kita mendoakan agar Faisal berehat dan segera bangkit daripada episod hitam serta dipermudahkan segala urusan rawatan dan penyembuhan.