SELANGOR FC menjelaskan bahawa pembocoran maklumat sulit mengenai surat tawaran kontrak yang tular di laman sosial membabitkan pembayaran gaji pemain import bukan didalangi orang dalam organisasi itu.

Perkara ini dijelaskan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon yang berkata bahawa pihaknya akan meneliti prosedur operasi standard (SOP) yang terbaik untuk mereka menguruskan apa apa dokumen sulit dan memperbaiki dari aspek kebocoran.

“Saya tak rasa benda itu bocor daripada dalam. Kita masih jalankan siasatan dalaman dan sudah tentu benda macam ini perlu dielakkan daripada menimbulkan perkara tidak diingini dalam pasukan.

Dr. Johan Kamal Hamidon

“Benda ini bukan mudah, kita melakukan yang terbaik untuk memastikan kita tidak terdedah kepada perkara seperti ini. Ia masih berterusan dan kita masih belum dapat kesimpulannya,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Terdahulu, satu hantaran di laman sosial Harimau Selatan X mendakwa SFC menawarkan pemain importnya dengan gaji setinggi RM132,000 sebulan dengan laman itu turut menyertakan kandungan surat tawaran kontrak kepada pemain pasukan itu.

Selangor FC pula dengan pantas menafikan dakwaan itu menerusi satu kenyataan media menegaskan bahawa kandungan hantaran itu adalah palsu, tidak tepat dan dianggap fitnah.

 

Johan juga mengesahkan tiada pemain dengan jumlah gaji seperti yang didakwa dan berkata pihaknya akan turut menyiasat sama ada dokumen itu sahih ataupun tidak memandangkan mereka banyak melakukan rundingan dengan pemain import sebelum ini.

“Kita sedang kenalpasti kerana kita banyak mencari pemain import dan banyak usaha yang berlaku pada masa rundingan dan sebagainya. Kami bercakap dengan lapan ke sembilan pemain import, jadi tidak mudah untuk kita kenalpasti.

“Kita lakukan perkara itu secara dalaman tetapi apa yang boleh saya jamin adalah kita tiada menggaji sebarang pemain pada jumlah yang dikongsikan. Kadar itu sangat tinggi,” tambahnya lagi.

Meskipun sering dilanda pelbagai tohmanan, namun ianya tidak menjejaskan rentak cemerlang Selangor FC apabila berjaya mencatat lima kemenangan berturut-turut untuk berada di tangga kedua Liga Super.