KETUA jurulatih interim Sri Pahang FC, Datuk Dollah Salleh mendedahkan pasukan semakin menunjukkan prestasi baik disebabkan ‘kebebasan’ yang diberikan kepada pemain-pemainnya.

Mengulas lanjut megenai kebebasan itu, Dollah yang berjaya membawa pasukan mencatat kemenangan dua kali berturut-turut di laman sendiri termasuk 2-0 ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA) semalam memberitahu beliau sangat berbangga dengan pemain-pemainnya terutama prestasi yang ditunjukkan penyerang berusia 24 tahun, Andres Steven Rodriguez.

“Peningkatan yang mendadak sekali. Alhamdullilah kita dah dapat suntikan (semangat dan gol). Rodriguez jaring empat gol dalam tiga perlawanan, belum pernah dilakukan sebelum ini.

“Faktornya adalah kerana kita bagi dia kebebasan, tak kongkong dia bermain dengan cara sebelum ini. Saya itu yang dia dapat kebebasan. Kita biarkan apa yang dia nak buat.

Dollah berjaya membawa dua kemenangan berturut-turut di laman sendiri.

“Kita hanya bagitau buat itu dan ini sahaja, tetapi dalam padang dia yang buat sendiri.

“Dengan jaringan ia bukan sahaja memberi kegembiraan kepada semua pemain, tetapi pegawai dan staf pasukan sendiri pun bersemanagat dengan kebangkitan ini,” ujar Dollah.

Dalam pada itu, Dollah turut memberitahu kemenangan ke atas KDA FC ini juga disebabkan oleh disiplin di atas padang.

“Walaupun masih belum dapat permainan yang dikehendaki, tetapi saya masih bangga dengan disiplin yang ditunjukkan, terutamanya di bahagian pertahanan. Nampak pemain bekerjasama walaupun masih ada juga kesilapan dilakukan. Itu saya cakap… disiplin dalam padang nampak mantap sekarang.

“Namun saya percaya benda itu boleh diperbaiki dan tahniah kepada semua pemain,” tambahnya.

Dengan kemenangan ke atas Kedah Darul Aman ini, skuad Tok Gajah kini berjaya memperbaiki kedudukan liga dengan mara ke tangga kesembilan dengan 14 mata selepas 13 perlawanan.

Untuk rekod selain kemenangan ke atas KDA FC, skuad Dollah juga turut melakar kemenangan 2-0 ke atas Selangor FC minggu lalu.

Perlawanan seterusnya pada 9 Ogos ini bertemu Petaling Jaya City FC di tempat lawan.