PERTAHANAN skuad kebangsaan, Dominic Tan mengakui gandingannya bersama Sharul Nazeem di bahagian pertahanan tengah semakin baik dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
Keserasian ini berlaku selepas mereka sama-sama mengharungi beberapa sesi latihan dan perlawanan bersama hingga membentuk persefahaman yang lebih baik.
Dominic turut gembira dengan kehadiran penyokong yang memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil dan berharap mereka dapat membawa momentum kemenangan ketika bertemu Thailand pada separuh akhir.
“Sudah tentu setiap perlawanan memberi pengalaman yang baik kepada kami untuk menjadi lebih baik, kami harap persefahaman ini akan terus meningkat selepas ini dan sesiapa pun yang turun ditentukan oleh jurulatih dan ia tidak menjadi masalah untuk saya.
“Amat baik sekiranya suasana yang hebat di stadium seperti sebelum ini dapat diulangi kerana sorakan penyokong memang membantu kami ketika berdepan cabaran Singapura sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan rasmi skuad kebangsaan.
Pertahanan Sabah ini juga mengakui tidak mudah untuk bertemu pasukan yang hebat seperti Thailand tetapi percaya sokongan para penyokong mampu membantu para pemain.
“Kita semua tahu Thailand adalah satu pasukan yang bagus dan kuat, tetapi semua pasukan ada kelemahan dan kekuatan mereka jadi sesiapa pun yang diturunkan perlu lakukan yang terbaik,” katanya.
Malaysia bakal bertemu Thailand pada perlawanan separuh akhir pertama Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 pada Sabtu sebelum perlawanan timbal balik di Stadium Thammasat, Bangkok Selasa ini.