PEMAIN pertahanan Selangor FC, Fazly Mazlan bersyukur dan gembira kerana mempunyai isteri yang sentiasa menyokong kerjayanya dan mendorong dirinya untuk beraksi lebih baik merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Fazly dan isteri, Shazreena Abdullah baharu sahaja melangsungkan perkahwinan minggu lalu dan kembali ke dalam skuad Selangor FC ketika membantu Gergasi Merah menewaskan Penang FC 3-0 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Sabtu.

“Alhamdulillah majlis perkahwinan kami berjalan dengan lancar dan kini saya kembali fokus dan kerja keras untuk bantu Selangor mencapai misi iaitu meraih tempat ke pertandingan Asia musim hadapan.

“Pasangan saya banyak bagi kata-kata semangat untuk saya sebelum beraksi kerana kini saya mempunyai tanggungjawab sebagai suami dan perlu bekerja keras untuk tingkatkan dan perbaiki prestasi,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Fazly atau mesra disapa BJ juga tidak merasa tekanan apabila Safuwan Baharudin kembali ke Selangor dan Khuzaimi Piee juga sudah pulih dari kecederaan sekaligus mencipta persaingan untuk merebut tempat di bahagian pertahanan.

Malah dia menganggap perkara ini sebagai persaingan sihat buat mereka dan akan memberikan nilai tambah kepada pasukan dalam usaha mencapai ‘clean sheet’ yang sukar diperolehi Selangor ketika ini.

“Kembalinya Safuwan dan Khuzaimi sangat baik kerana kami akan bersaing semasa latihan dan ini mewujudkan persaingan sihat dan ianya sekaligus dapat bantu tingkatkan prestasi pasukan.

“Dengan adanya kesemua pemain pertahanan, ianya akan kuatkan lagi kami dan cuba untuk dapatkan ‘clean sheet’ dari satu perlawanan ke satu perlawanan dengan aksi malam ini menentang Penang FC boleh dianggap sebagai permulaan,” jelasnya.

Fazly juga tidak kisah dengan kehadiran ramai pemain muda dalam pasukan kerana baginya ini baik untuk masa depan kelab dan dia sebagai pemain senior dapat menurunkan beberapa ilmu kepada mereka untuk beraksi lebih baik.

“Kehadiran pemain muda dalam pasukan adalah baik kerana mereka adalah prospek pasukan dan juga skuad negara. Bagi saya mereka ini memang berbakat dan perlu bekerja keras untuk berada pada tahap terbaik untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama,” katanya.