KELAB Jerman, Borussia Dortmund berjaya mengalahkan Manchester United (MU) 3-2 dalam perlawanan ujian yang diadakan di Stadium Allegiant, Las Vegas, Nevada, pada Isnin.

Pada minit ke-25 MU berjaya mendahului selepas memecah gawang Dortmund menerusi jaringan Diogo Dalot hasil rembatan kencang dari luar kotak penalti selepas menyambut hantaran Donny Van De Beek.

Tetapi Dortmund segera bangkit menukar kedudukan pada minit terakhir separuh masa pertama.

Pada minit ke-43 Dormund berjaya menyamakan kedudukan selepas mengambil kesempatan daripada kekalutan menerusi sepakan voli Donyell Malen.

Kemudian, pada minit ke-44 Malen yang terlepas daripada perangkap ofsaid berjaya memecah masuk ke gawang MU buat kali kedua selepas menerima hantaran Marcel Sabitzer.

Manchester United ketinggalan 1-2 kepada Dortmund sebaik tamat 45 minit separuh masa.

Pada permulaan separuh masa kedua Dortmund segera mengasak pertahanan MU. Pada minit ke-47, pintu gol MU diancam oleh rembatan kencang Sebastien Haller selepas mengambil kesempatan daripada kesilapan pemain pertahanan MU.

Tetapi sepakan Haller berjaya digagalkan oleh penjaga gol MU, Andre Onana. Selepas menyelamatkan keadaan, Onana kelihatan marah kepada Harry Maguire kerana melakukan kesilapan memberikan hantaran yang menyebabkan gawang MU terancam.

Pada minit ke-52, MU akhirnya menyamakan kedudukan 2-2 menerusi jaringan Antony selepas melepaskan rembatan dari dalam kotak penalti Dortmund.

Sementara itu, pada minit ke-60 Harry Maguire hampir menjaringkan gol sendiri selepas tandukannya terkena palang MU apabila memenangi perebutan dalam situasi sepakan sudut.

Pada minit ke-70, Dortmund di depan menerusi jaringan Yousoffa Moukoko selepas menerima hantaran Marco Reus. Sehingga perlawanan tamat skor tidak berubah, MU tewas 2-3 kepada Dortmund.