MUSIM 2023 sudah rasmi melabuh tirainya dan memang tidak dinafikan satu penutup yang  bermakna buat Selangor FC apabila berjaya menamatkan saingan selaku naib juara Liga Super selepas mengumpul 61 mata daripada 26 perlawanan keseluruhan.

Bukan sekadar itu, kejayaan tersebut juga telah memacu skuad kendalian Tan Cheng Hoe untuk beraksi di pentas Asia pada tahun hadapan setelah mereka sah untuk mewakili Malaysia dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL 2).

Namun, dalam kemanisan tersebut telah terselit satu detik kebimbangan buat penyokong-penyokong pasukan Gergasi Merah mengenai keadaan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang tidak memenuhi kriteria untuk dijadikan lokasi perlawanan AFC.

Tampil bagi menjawab kepada kekeliruan para penyokong, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC iaitu Dr. Johan Kamal Hamidon bagaimanapun menegaskan bahawa MBPJ akan membuat proses naiktaraf agar memenuhi segala piawaian yang dikehendaki.

“Kami sedang bekerjasama rapat dengan Stadium MBPJ dan pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menaik taraf beberapa kemudahan di stadium ini.

“Kerja-kerja itu akan bermula tak lama lagi dan harapnya menjelang permulaan musim baharu, bermula bulan empat Insya-allah adalah beberapa penambahbaikan seperti kerusi, pencahayaan, ‘PA System’, bumbung, sumber air dan sebagainya.

“Kita memang ada senarai perkara yang kita sedang bekerjasama dengan MBPJ untuk menaik taraf stadium ini, untuk lebih sesuai dengan prestij ACL2, InsyaAllah,” katanya kepada media

Stadium MBPJ yang digunakan oleh skuad Selangor sejak 2021 mempunyai kapasiti sebanyak 25,000 tempat duduk malah sayangnya tidak memenuhi piawaian Peraturan Stadium Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Tetapi susulan kenyataan yang dilontarkan oleh Dr.Johan, beliau mempunyai keyakinan setinggi 95% bahawa stadium tersebut akan dijadikan gelanggang buat Selangor FC beraksi dalam kancah ACL2.

Untuk makluman, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah mengumumkan bahawa Selangor FC berjaya meraih slot ke saingan ACL2 setelah muncul naib juara Liga Super 2023 manakala Johor Darul Ta’zim (JDT) layak ke saingan ACL Elite .